TERKINI

Isu UiTM Holdings : Ibrahim Ali lapor SPRM kali ke-2

Ibrahim Ali – malayadaily.com

SHAH ALAM, 5 Dis 2023 – Presiden parti Putra, Dato’ Paduka Dr. Ibrahim Ali mendesak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk melakukan siasatan berhubung laporan penyelewengan, salah guna kuasa dan ketirisan UiTM Holdings dan pengurusan UiTM.

Menurut Ibrahim, ini merupakan laporan kedua kepada SPRM selepas laporan pertama dibuat pada 31 Januari 2023 lalu, namun masih belum ada maklum balas daripada pihak SPRM berhubung laporan tersebut.

“”Saya sekali lagi membuat aduan ataupun laporan kedua kepada SPRM mengenai penyelewengan, salahguna kuasa dan ketirisan pihak pengurusan UiTM Holdings dan pengurusan UiTM yang mengakibatkan UiTM kerugian ratusan juta ringgit.

“Saya membuat laporan kedua ini kerana laporan pertama mengenai perkara yang sama bertarikh 31 Januari 2023 dengan No. Rujukan: PUTRA.Msia/pres/2023 (016) sudah hampir setahun masih tidak ada maklumbalas atau apa-apa perkhabaran daripada pihak SPRM, apatah lagi UiTM.

Dalam satu kenyataan media, Ibrahim menzahirkan dukacitanya kerana hingga kini tiada perkembangan mengenai laporan tersebut.

“Saya sekali lagi mengulangi dan mendesak dengan tegas dan lantang supaya SPRM segera menyiasat dan kali ini mesti membedah hasil siasatan.

Beliau yang juga mantan Ahli Lembaga Pengarah UiTM berkata, jika SPRM berdiam diri dan tidak menyiasat secara menyeluruh sehingga ke akar umbi, maka ini boleh disifatkan sebagai langkah untuk melindungi pihak-pihak yang terlibat untuk melakukan penyelewengan.

“Oleh itu, siasatan segera hendaklah dilakukan. Ujarnya.

Sebelum ini, laporan Ketua Audit Negara 2022 mendedahkan sebanyak RM259.98 juta wang dilaburkan di Universiti Teknologi Mara (UiTM) melalui suntikan modal dan penukaran pinjaman kepada ekuiti tanpa kelulusan kementerian kewangan.

Media juga melaporkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sedang menyiasat UiTM Holdings atas dakwaan ketidakcekapan dan ketirisan yang membawa kepada kerugian RM157 juta. – malayadaily.com

Facebook
Twitter
WhatsApp