TERKINI

Ab Rauf Yusoh Dilantik KM Melaka

foto harian metro

AYER KEROH, 1 April 2023 – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Bidara, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh selesai mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri Melaka ke-13 semalam.

Istiadat angkat sumpah beliau yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Melaka itu berlangsung di hadapan Yang di-Pertua Negeri, Tun Mohd Ali Rustam di Pejabat Tuan Yang Terutama (TYT).

Istiadat berkenaan sekaligus menamatkan teka-teki siapakah yang bakal menggantikan kedudukan Datuk Seri Sulaiman Md Ali sebagai ketua menteri sebelum ini selepas beliau meletakkan jawatan yang disandang sejak Mac 2020 lalu.

Sulaiman yang merupakan ADUN Lendu melepaskan jawatan yang dipegang beliau sejak 9 Mac 2020 itu bagi menggantikan Adly Zahari yang gagal mendapat kepercayaan sebilangan besar ADUN Melaka ketika itu.

Dalam perkembangan yang sama. Ketua Menteri Melaka yang baru ini memaklumkan bahawa barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Melaka akan dilantik dalam tempoh 48 jam namun beiau belum dapat mengesahkan sama ada pelantikan itu akan turut melibatkan wakil rakyat daripada blok Pakatan Harapan (PH) ataupun tidak.

Beliau berkata, perkara itu akan dibincangkan bersama Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sebelum membuat sebarang keputusan.

“Sudah pasti barisan Exco akan diputuskan dalam masa terdekat (dan) saya sedang membuat pertimbangan tentang pelantikan-pelantikan Exco baru ini.

“Saya tidak dapat panduan lagi (kerjasama bersama PH), saya akan cuba merujuk kepada pucuk pimpinan untuk pastikan apakah hala tujunya dan saya akan ambil petua tersebut untuk merangka Exco kerajaan negeri,” katanya. – sumber AWANI

Facebook
Twitter
WhatsApp