TERKINI

Tiada Wakil Motac Hadir Prosiding Kekecohan di KLIA

Foto Mstar

KUALA LUMPUR, 25 Julai 2023 – Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (Motac) tidak menghantar wakil menghadiri prosiding pertama Jawatankuasa Pilihan Khas Hak Asasi Manusia, Pilihan Raya dan Reformasi Institusi Parlimen ke-15 berhubung kekecohan membabitkan seorang warga China di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), bulan lepas.

Menterinya, Datuk Seri Tiong King Sing, dikatakan tidak dapat hadir kerana mempunyai komitmen yang tidak dapat dielakkan selain telah dinasihati peguam agar sebarang kenyataan tidak sesuai dikeluarkan kerana insiden itu masih dalam siasatan pihak berkuasa.

Sedangkan prosiding tersebut akan menyentuh isu kekangan pengendalian proses Notis Penolakan Masuk (NTL) serta masalah bagi pelancong yang dikenakan notis NTL, aduan orang awam mengenai proses NTL dan cadangan penambahbaikan undang-undang selain sistem sedia ada.

“Adalah menjadi keperluan Motac hadir untuk memberi keterangan kepada Jawatankuasa ini mengenai isu-isu berkaitan pengendalian proses NTL serta masalah bagi pelancong yang dikenakan notis NTL pada mesyuarat yang akan ditetapkan kelak,” kata jawatankuasa itu, dalam satu kenyataan semalam.

Prosiding yang dipengerusikan ahli Parlimen Selayang Leong Jee Keeng itu turut memanggil wakil serta Persatuan Ejen-Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (Matta) untuk memberi penerangan.

Malah prosiding tersebut juga tidak menyentuh mana-mana siasatan jenayah yang sedang disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) atau atau pihak polis, justeru tidak wujud pertindihan siasatan antara jawatankuasa dan pihak berkuasa berkenaan, kata kenyataan itu.

Menurut kenyataan jawatankuasa berkenaan, wakil Matta yang hadir memberi adalah Presiden Nigel Wong, bekas Presiden Datuk Tan Kok Liang, Pengurus Besar Maziah Mihat, Exco Kerja Khas Datuk Hamzah Rahmat serta Naib Presiden Penyelidikan dan Teknologi Mohd Hizzat Mohd Shah.

Prosiding berikutnya dijadualkan pada Rabu depan dan akan dibahagi kepada dua sesi iaitu penerangan daripada Kementerian Pengangkutan serta Malaysia Airports Holding.

Ia kemudiannya akan disusuli oleh Kementerian Dalam Negeri dan Jabatan Imigresen.

Pada 29 Jun lepas, kekecohan berlaku di KLIA membabitkan orang kenamaan yang dikatakan cuba ‘menyelamatkan’ seorang wanita warga China yang dinafikan kemasukan ke negara ini sebaik tiba di lapangan terbang itu. – malayadaily.com

Facebook
Twitter
WhatsApp