TERKINI

Dengan Teknologi, Perlis Boleh Teroka Tanaman Kayu Jati, kata Tun M

Mahathir Mohamad – foto FB TDM

KUALA LUMPUR, 11 Okt 2023 – Perlis mempunyai peluang untuk meneroka tanaman kayu jati untuk di jadikan sumber pendapatan negeri, kata bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Mahathir berkata, selari dengan perkembangan teknologi, kebolehan pengeluaran produk berasaskan jati boleh dipertingkatkan.

“Jika kita tumpu dan benar-benar bersungguh dalam industri kayu jati inipun boleh beri pulangan kepada negeri. Apa yang penting ialah bagaimana cara kita tingkat kebolehan dan kembangkan aset sedia ada,” katanya, dalam satu kenyataan, hari ini.

Kaedah tanaman lama katanya perlu diperbetulkan agar hasil yang optimum boleh dituai.

“Di Perlis ini banyak tanah-tanah kosong terbiar. Dahulu pernah saya cadang di tepi-tepi jalanraya diusaha tanam pokok jati. Pokok jati nilainya cukup tinggi. Kedah dan Perlis amat sesuai tanam pokok jenis ini. Masalahnya ialah cara tanam pokok jati ini tidak kena.

“Sepatutnya ia ditanam tidak kurang dari 30 hingga 40 kaki antara satu sama lain, tetapi yang ada sekarang ini ditanam 5 kaki setiap pokok, inilah punca pokok tidak boleh tumbuh besar. Sepatutnya sekarang sudah masuk tempoh menuai dan boleh keluarkan hasil. Jadi cara tanam perlu diperbetul semula,” katanya.

Dalam pertemuan bersama Menteri Besar Perlis Mohd Shukri bin Ramli dan ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri di Perlis petang semalam, Mahathir berkata, beliau akan memberikan tumpuan kepada negeri-negeri Perikatan Nasional (PN).

Katanya, semasa menjawat jawatan sebagai perdana menteri, tumpuan ketika itu semestinya kepada negara secara keseluruhannya dan mempunyai masa terhad untuk lihat setiap satu negeri.

“Pembangunan di tiap negeri dipertangungjawab kepada negeri dan jentera pentadbiran negeri.

“Sekarang selepas tidak lagi jadi perdana menteri dan dijemput menasihat SG4 ini, saya akui ada banyak masa dan boleh bantu beri tumpuan kepada hal berkait ekonomi dan pelaburan di SG4,” katanya. – malayadaily.com

Facebook
Twitter
WhatsApp