TERKINI

Chegubard ditahan polis berkaitan hantaran mengenai kasino di Forest City

Badrul Hisham Shaharin – foto Malaysia Post

KUALA LUMPUR, 28 Apr 24 – Aktivis politik, Badrul Hisham Shaharin atau lebih dikenali sebagai Chegubard, ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi di sini berkaitan hantaran mengenai pengoperasian kasino di Forest City pada Sabtu.

Peguambela dan peguamcaranya, Rafique Rashid berkata, siasatan akan dilakukan mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

“Che’gu Bard kini ditahan di IPD Dang Wangi. Tangkapan terkait dengan hantaran dalam Facebook beliau berkaitan dengan Kasino Forest City yang dilaporkan oleh Bloomberg.

“Jam 8.45 pagi permohonan reman akan didengar di IPD Dang Wangi,” katanya.

Menerusi hantaran Che’gu Bard di Facebook, beliau menyindir Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenai hab kewangan yang akan dibina di Forest City.

Dalam pada itu, beliau turut berterima kasih kepada agensi berita Business Times Singapore dan Bloomberg kerana melaporkan berita berkenaan kepada umum.

Sebelum ini, Bloomberg dengan memetik sumber, melaporkan Perdana Menteri bertemu dengan dua hartawan terkemuka minggu lalu bagi membincangkan rancangan membuka kasino di Forest City.

Laporan itu mendakwa Anwar, pegawai kanan kerajaan dan ahli perniagaan mengadakan makan tengah hari dan mesyuarat mengenai kemungkinan memberikan lesen kasino kedua Malaysia.

Menurut laporan itu, turut berada pada mesyuarat itu ialah Pengasas dan Penasihat Berjaya Corporation Berhad, Tan Sri Vincent Tan dan bekas Pengerusi serta Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Genting Hong Kong Ltd, Tan Sri Lim Kok Thay.

Namun, laporan tersebut dinafikan oleh semua pihak antaranya Perdana Menteri, Menteri Besar Johor, Genting Malaysia Bhd (Genting Malaysia) dan Berjaya Corporation Berhad (Berjaya). – Sinar Harian

Facebook
Twitter
WhatsApp