TERKINI

Cari Hasil Lain Selain Petronas – Ahli Ekonomi

foto berita harian

PETALING JAYA, 6 April 2023 – Kerajaan digesa mempertimbangkan menyemak semula pilihan hasilnya untuk tempoh jangka panjang dan bukannya terlalu bergantung kepada Petronas.

Ahli ekonomi Yeah Kim Leng daripada Universiti Sunway berkata, mengurangkan kewajipannya kepada kerajaan sekarang akan membolehkan Petronas melabur dalam aktiviti yang boleh memanjangkan hayatnya sebagai sumber pendapatan.

Beliau menjawab kenyataan Menteri Undang-undang dan Reformasi Institusi Azalina Othman Said di Dewan Rakyat minggu lepas bahawa rizab minyak dan gas Petronas diunjurkan hanya dapat bertahan selama 15 tahun lagi.

Azalina, yang memetik data Indeks Hayat Rizab berkata, setakat 1 Jan tahun lepas, rizab petroleum negara yang mungkin dan terbukti berjumlah 6.9 bilion tong bersamaan minyak.

Bagaimanapun, katanya, ini boleh dilanjutkan kepada lebih 40 tahun jika terdapat pelaburan modal yang tinggi dan dengan pengenalan teknologi baharu.

Yeah berkata, mengurangkan kebergantungan kerajaan kepada Petronas boleh meningkatkan perbelanjaan modalnya untuk cari gali minyak dan aktiviti huluan lain.

“Ia juga boleh membolehkan perbadanan minyak negara itu meningkatkan pelaburannya dalam tenaga boleh baharu,” katanya kepada FMT Business.

Beliau berkata, Petronas mampu membayar dividen yang tinggi apabila harga minyak meningkat. Sebagai contoh, katanya, Petronas membayar dividen RM54 bilion kepada kerajaan pada 2019, yang tertinggi dalam sedekad. Pada tahun itu, harga minyak mentah dunia berada pada purata USD64 setong.

“Bagaimanapun, dividen itu turun kepada RM34 bilion pada 2020 apabila harga minyak mentah turun 33% kepada USD43 setong. Ini menunjukkan keupayaan Petronas untuk mengekalkan dividen yang tinggi dikekang oleh harga minyak global,” katanya.

Dividen pada tahun lepas hanya RM50 bilion, walaupun harga minyak mentah pada purata USD100.93 setong.

Yeah berkata, walaupun harga minyak mentah kini kira-kira USD84 setong, tiada jaminan bahawa dividen tahun ini akan lebih tinggi berbanding tahun lepas, memandangkan harganya tidak menentu.

Katanya, Petronas perlu melabur sejumlah besar wang dalam aktiviti huluan dan teknologi baharu untuk melanjutkan rizab terbuktinya sambil berusaha mencapai sasaran pelepasan karbon sifar negara.

“Kerajaan mungkin perlu bergantung kepada Petronas untuk penyelesaian jangka pendek seperti mengekalkan defisit fiskal dan paras hutang rendah, tetapi bukan untuk sokongan ekonomi jangka panjang,” kata Yeah.

Beliau berkata, alternatif bagi kerajaan adalah meningkatkan hasil cukai tetapi untuk itu, ia perlu merombak asas cukai dan mengimbangi semula strukturnya.

“Ini bermakna kerajaan perlu meningkatkan hasil daripada cukai tidak langsung dan ini boleh dilakukan dengan memperkenalkan semula cukai penggunaan berasas luas seperti cukai barangan dan perkhidmatan (GST) atau cukai nilai tambah,” katanya.

Menurut Yeah, cukai tidak langsung berjumlah RM41 bilion pada 2019, hampir sebanyak jumlah pembayaran dividen oleh Petronas.

Carmelo Ferlito daripada Pusat Pendidikan Pasaran berkata, dividen lebih rendah yang dibayar pada 2020 mungkin satu keputusan strategik oleh Petronas.

“Syarikat mungkin untung tetapi ia mungkin memutuskan untuk menggunakan keuntungan itu untuk pelaburan baharu berbanding mengisytiharkan dividen,” katanya kepada FMT Business.

Ferlito berkata, syarikat itu juga boleh membuat keputusan untuk tidak membayar dividen jika terdapat ramalan perniagaan negatif.

“Petronas mungkin mempunyai sebab untuk menyimpan dananya. Syarikat itu mungkin cuba berhemat dengan perbelanjaannya memandangkan cabaran yang dihadapi,” tambahnya. – sumber FMT

Facebook
Twitter
WhatsApp