TERKINI

Ada ‘Hakim’ Tak Terikat Mahkamah, Buat Keputusan Apa Sahaja, Dakwa Dr Mahathir

Mahathir Mohamad – foto Bernama

KUALA LUMPUR, 5 Sept 2023 – Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mendakwa wujud satu ‘hakim’ yang membuat keputusan sesuka hati tanpa melibatkan proses kehakiman di dalam negara.

Tanpa merujuk sesiapa, Mahathir berkata, institusi kehakiman perlu merangkumi Peguam Negara (AG) dan hakim dengan keputusan mahkamah pertama boleh dirayu di mahkamah berikutnya, sehingga ke mahkamah tertinggi.

“Namun kesalahan yang dilakukan itu kekal.

“Tapi ada satu hakim tidak terikat dengan mahkamah. Hakim ini buat keputusan berdasarkan apa sahaja,” katanya.

Malah, hakim itu juga katanya boleh memutuskan tiada kes untuk dijawab walaupun kes itu sedang dibicarakan, keputusannya tetap berlaku.

“Hakim mungkin percaya bahawa terdapat kesalahan namun enggan mendakwa, tetapi kes itu tidak boleh didengar,” katanya dalam satu hantaran .

“Ini adalah undang-undang yang mesti dipatuhi…tahniah Malaysia, sistem kehakiman kita terbaik di dunia, katanya.

Terdahulu, Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi semalam dilepas tanpa dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi daripada 47 tuduhan pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram dana Yayasan Akalbudi yang diasaskannya.

Keputusan itu dibuat hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah, yang melepas tanpa membebaskan Zahid, 70, yang juga timbalan perdana menteri selepas membenarkan permohonan Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Mohd Dusuki Mokhtar, yang memaklumkan Jabatan Peguam Negara ingin memberhentikan semua prosiding terhadap Zahid.

Daripada keseluruhan 47 pertuduhan, lapan adalah kesalahan rasuah, 12 pecah amanah dan 27 pengubahan wang haram dana Yayasan Akalbudi. – malayadaily.com

Facebook
Twitter
WhatsApp