TERKINI

Ahli Parlimen kaitkan menteri dengan Islamofobia diarah keluar Dewan

Ahmad Marzuk Shaary – foto Hot FM

KUALA LUMPUR, 7 Okt 2023 – Ahli Parlimen Pengkalan Chepa, Datuk Ahmad Marzuk Shaary diarah keluar Dewan Rakyat petang ini selepas membuat tuduhan mengaitkan seorang menteri dengan Islamofobia sehingga menimbulkan kekecohan.

Arahan keluar dewan itu dibuat Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Alice Lau Kiong, terhadap Ahmad Marzuk selepas ahli Parlimen itu enggan menarik tuduhannya seperti diputuskan dewan.

Terdahulu, Ahmad Marzuk ketika mencelah dalam sesi penggulungan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Nai’im Mokhtar di peringkat jawatankuasa bagi Jabatan Perdana Menteri, mendakwa kekeliruan dan Islamofobia disebabkan salah tanggapan terhadap Islam, bukan sahaja dalam kalangan masyarakat tetapi juga menteri.

Beliau mendakwa ia termasuklah Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming, yang dilihat salah tanggap terhadap Islam melalui hantaran ahli Parlimen Teluk Intan itu, di laman sosial sebelum ini.

Ahmad Marzuk merujuk kepada hantaran Kor Ming yang menyatakan sekolah bukan tempat untuk konflik, fahaman ekstremis dan keganasan dengan meletakkan gambar murid sekolah berpakaian seperti pejuang Palestin serta memegang senjata mainan.

“Adakah Yang Berhormat (menteri) berusaha untuk fahamkan dalam kalangan menteri Kabinet, yang tidak faham sebab itu adanya larangan terhadap Qunut Nazilah,” katanya.

Howard Lee Chuan How (PH-Ipoh Timor) kemudiannya membangkitkan mengenai Peraturan Mesyuarat 36 bahawa wujudnya sangkaan jahat dibuat Ahmad Marzuk dan minta tuduhan itu ditarik semula.

“Secara terang-terangan tadi Pengkalan Chepa membuat sangkaan jahat… saya tidak setuju dengan apa yang dia bawa, dia tabur fitnah itu, apa yang disebut diputar belitkan,” katanya.

Howard turut mempersoalkan sama ada Ahmad Marzuk mengetahui niat yang ingin disampaikan ahli Parlimen Teluk Intan itu melalui hantarannya.

Keadaan menjadi kecoh selama beberapa minit antara beberapa ahli Parlimen Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN) yang saling bertelagah.

Alice kemudiannya mengarahkan bentara supaya membawa keluar Ahmad Marzuk berikutan beliau enggan berbuat demikian dan ingin mengemukakan usul. – Berita harian

Facebook
Twitter
WhatsApp