TERKINI

Ahli Parlimen kerajaan ‘dikurung’?

Gambar hiasan, Dewan Rakyat – Foto Jab. Penerangan Malaysia

KUALA LUMPUR, 18 Jan 2024 – Tular satu rakaman video pendedahan seorang pemimpin Perikatan Nasional (PN) yang mendakwa Ahli-ahli Parlimen kerajaan ‘dikurung’ di satu lokasi di Cyberjaya.

Ahli Jawatankuasa Penerangan Parti Bersatu, Mohamad Shafiq Abdul Halim mendakwa beliau mendapat maklumat itu daripada pihak tertentu mengenai tindakan terhad.

MalaysiaGazette melaporkan, dalam video berdurasi 9.58 saat bertajuk, “Ahli Parlimen Kerajaan dikandang selama dua hari bermula hari ini”, turut menyatakan kenyataan Anwar bersama jemaah Menteri kerajaan perpaduan menghadiri sesi pemukiman di Cyberjaya bagi memberi penumpuan kepada mencari ikhtiar baharu untuk melonjakkan ekonomi negara.

Dakwa Mohamad Shafiq lagi, ‘sesuatu’ akan berlaku Jumaat ini, tetapi tidak pasti ia menjadi kenyataan atau tidak.

“Adakah mungkin berlakunya ‘Langkah Jumaat’ sehingga terdesak sangat. Apa yang saya dengar, ada ura-ura mengatakan akan berlaku sesuatu pada hari Jumaat ini.

“Pihak istana dikatakan telah menghantar emel kepada Ahli Parlimen untuk menyertai satu program yang disebut sebagai Majlis Minum bersama YDPA,” katanya dalam rakaman video itu.

Kata Mohamad Shafiq, jemputan itu memerlukan semua Ahli Parlimen hadir ke Istana Negara.

Sebelum ini timbul desas desus media melaporkan polis sudah memanggil empat individu untuk memberi keterangan bagi membantu siasatan berhubung perkara itu pada minggu lalu.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain sebelum ini dilaporkan berkata, polis memanggil beberapa individu bagi membantu siasatan berkaitan isu ‘Langkah Dubai’ selepas mereka didapati menggunakan media sosial sebagai platform untuk berbicara mengenai isu berkenaan.

Berikutan itu, polis membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 124(c) Kanun Keseksaan kerana cubaan untuk melakukan aktiviti memudaratkan demokrasi berparlimen dan suspek utama adalah aktivis politik, Raja Petra Kamarudin.

Kes turut disiasat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan Seksyen 505 (B) Kanun Keseksaan. – MalaysiaGazette

Facebook
Twitter
WhatsApp