TERKINI

Kerajaan berjaya hapuskan rasuah dengan menggugurkan 47 kes – Mahathir

Mahathir Mohamad – foto Facebook TDM

PUTRAJAYA, 4 Mei 24 – Mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dengan nada sinis memuji kesungguhan kerajaan memerangi rasuah dan berjaya memghapuskan kegiatan rasuah dengan memberi contoh 47 kes, merujuk kepada kes Zahid Hamidi.

Dalam satu kenyataan, semalam, Mahathir berkata usaha tersebut berjaya ditangani apabila kerajaan berjaya mengurangkan atau menggugurkan kes rasuah.

“Kita bangga dengan usaha memerangi rasuah di Malaysia. Banyak sudah kejayaan dicapai, rasuah sudah berkurangan.

“Caranya istimewa, 47 kes rasuah sudah dihapuskan dengan menghenti dakwaan di mahkamah. Ujar Mahathir.

Mahathir juga menyindir kerajaan yang akan terus memburu hingga mendapat bukti wujudnya rasuah.

“Percayalah, jika masa bertahun diperlukan tetapi buruan akan diteruskan. Bukti akan ditunjuk supaya orang awam sedar keperluan menyokong pihak yang memerangi rasuah. Syabas.

“Bertuah sungguhlah rakyat Malaysia. Ujar beliau.

Terdahulu, Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki berkata, bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad adalah antara individu yang disiasat berhubung isu pengisytiharan harta.

Ketua Pesuruhjaya SPRM berkata, ekoran penyiasatan itu, kedua-dua anaknya juga telah diberi notis untuk mengisytiharkan harta dalam tempoh yang dinyatakan dalam notis di bawah Seksyen 36 Akta SPRM 2009.

Sebelum itu, Presiden parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Datuk Seri Utama Mukhriz Mahathir mengesahkan kenyataan abang beliau, Mokhzani Mahathir dalam wawancara yang disiarkan oleh Bloomberg bahawa siasatan ke atas mereka berdua adalah mensasarkan bapa mereka, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Januari lalu, bekas Menteri Kewangan, Tun Dr Daim Zainuddin mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen, atas satu pertuduhan gagal mematuhi notis Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dengan tidak mengisytiharkan 70 aset hartanya dan satu bank akaun, Disember tahun lalu. – malayadaily.com

Facebook
Twitter
WhatsApp