TERKINI

Isu Kalimah ‘Allah’ : KDN Tarik Balik Rayuan Kerana Percanggahan Arahan Pentadbiran – Saifuddin

Saifuddin Nasution – foto The Sun Daily

PUTRAJAYA, 16 Mei 2023 – Keputusan Kerajaan Malaysia dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) menarik balik rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mengenai penggunaan kalimah Allah, Baitullah, Solat dan Kaabah baru-baru ini disebabkan berlaku percanggahan arahan pentadbiran KDN dan kabinet pada tahun 1986.

Menurut Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, ia melibatkan percanggahan perundangan sivil berkaitan rampasan bahan penerbitan ketika itu dan bukannya isu teologi melibatkan penggunaan kalimah Allah.

“Untuk makluman, keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur telah dibuat dengan menggunakan pendekatan perundangan sivil dan pentadbiran iaitu isu berkaitan rampasan bahan penerbitan pada ketika itu dan bukanlah dari sudut teologi ataupun apa jua yang melibatkan penggunaan kalimah Allah.

“Ini kerana, fungsi Mahkamah itu sendiri adalah tidak bersesuaian untuk memutuskan hal-ehwal berkaitan agama secara spesifik.

“Justeru, dalam penghakiman Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 10 Mac 2021, jelas bahawa Hakim membuat keputusan berdasarkan pendekatan secara pentadbiran dan tidak menyentuh mengenai penggunaan kalimah Allah serta ia didapati konsisten dengan keputusan Mahkamah Persekutuan terhadap kes Titular Roman Catholic Archbishop Kuala Lumpur lawan Menteri Dalam Negeri pada tahun 2014.

“Bersangkutan dengan hal ini, keputusan Kerajaan untuk tidak meneruskan permohonan rayuan tersebut adalah dibuat mengikut case-by-case basis tanpa menjejaskan fakta bagi setiap satu kes yang sedang dalam tindakan mahkamah,” jelasnya.

KDN, ulas Saifuddin lagi, telah memperhalusi dan meneliti keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 10 Mac 2021 dan mendapati berlaku percanggahan arahan pentadbiran yang menyebabkan keputusan berpihak kepada Jill Ireland.

Justeru, kementeriannya sedang mengkaji dan mengemas kini satu arahan pentadbiran lebih menyeluruh bagi menangani isu penggunaan kalimah Allah dalam bahan penerbitan.

“Sewaktu proses permohonan rayuan sedang berjalan, KDN turut memperhalusi dengan teliti keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 10 Mac 2021 yang mendapati terdapat percanggahan antara keputusan yang dibuat oleh Kabinet pada 19 Mei 1986 dan Arahan Pentadbiran yang kemudiannya dikeluarkan oleh KDN pada 5 Disember 1986.

“Oleh yang demikian, KDN mengambil langkah mengkaji dan mengemas kini satu arahan yang lebih menyeluruh bagi menangani isu penggunaan kalimah “Allah”, “Baitullah”, “Solat”, dan “Kaabah” agar selari dengan kepentingan dan kemaslahatan masyarakat berbilang kaum dan agama di Malaysia serta penyeliaan dan kawalan yang lebih berkesan terhadap bahan-bahan penerbitan yang menyalahi peruntukan perundangan yang berkuat kuasa,” katanya lagi.

Kata Saifuddin lagi, KDN sentiasa menghormati, memperakui dan menerima pakai ketetapan enakmen negeri-negeri dan titah Yang di-Pertuan Agong pada 7 Februari 2023.

Malah, KDN ujarnya lagi, komited dalam urusan mempertahan dan melindungi kepentingan Islam, orang Melayu, dan Institusi Beraja di Malaysia seperti diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan.

Terdahulu, Kerajaan Malaysia dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) pada Selasa memaklumkan telah menarik balik rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang memutuskan bahawa penganut agama Kristian boleh menggunakan kalimah Allah, Baitullah, Kaabah dan solat dalam penerbitan bahan agama Kristian bagi tujuan pembelajaran.

Notis pemberhentian rayuan semakan kehakiman berkenaan difailkan Pejabat Peguam Negara pada 18 April lalu di Pejabat Pendaftar Mahkamah Rayuan di Putrajaya. – Awani

Facebook
Twitter
WhatsApp