TERKINI

Pelajar Miskin Terpaksa Kerja Sara Keluarga, Penyebab Keciciran

Gambar hiasan – malayadaily.com

KUALA LUMPUR, 13 Jun 2023 – Timbalan Menteri Pendidikan, Lim Hui Ying, berkata antara sebab berlakunya keciciran pelajar sekolah khususnya mereka diperingkat menengah disebabkan mereka terpaksa bekerja demi membantu menyara keluarga.

Bagi mengatasi masalah itu, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) katanya mencadangkan untuk mewajibkan kanak-kanak di negara ini wajib bersekolah seawal enam tahun dan bersekolah hingga 11 tahun.

“Isu ketidakhadiran murid ini akan mengakibatkan keciciran, justeru untuk sekolah menengah ada beberapa program kunjungan dan lawatan di buat ke rumah pelajar, dan hasil tinjauan mendapati pelajar sekolah menengah ini tidak hadir ke sekolah kerana mereka sudah mula bekerja untuk menanggung dan menyara hidup keluarga.

“Sebab itu KPM kini berhasrat mewajibkan anak-anak Malaysia ini wajib bersekolah seawal usia enam tahun dan mereka perlu menghabiskan persekolahan selama 11 tahun,” katanya.

Hiu Ying berkata demikian menjawab soalan Muhamad Ismi Mat Taib (PN- PARIT) dalam sesi soal jawab di Dewan Rakyat, baru-baru ini.

Muhammad Ismi meminta Kementerian Pendidikan menyatakan langkah diambil kerajaan bagi membantu para pelajar di peringkat sekolah rendah dan menengah yang telah tercicir pengajian disebabkan masalah kemiskinan.

Kerajaan juga kata Hui Ying memberikan 18 jenis bantuan persekolahan dilaksanakan kementerian, dengan 13 dikategorikan sebagai bantuan khusus, manakala lima lagi sebagai bantuan umum yang turut jadi inisiatif mengatasi masalah keciciran pelajar.

KPM katanya mendapati antara salah satu faktor keciciran adalah disebabkan kemiskinan.

Justeru, bantuan diagihkan kepada murid yang layak dari keluarga berpendapatan rendah atau miskin termasuk pelajar yang mengalami keciciran sekolah.

Bantuan itu adalah Biasiswa Kecil Persekutuan (BKP), Rancangan Makanan Tambahan (RMT), Kumpulan Wang Amanah Pelajar Miskin (KWAPM), Bantuan Awal Persekolahan (BAP), Bantuan Makanan Asrama (BMA), Bantuan Perjalanan dan Pengangkutan Murid Asrama (PPM) dan Bantuan Pakaian Seragam Badan Beruniform (BPS).

“Selain itu, pelbagai bantuan seperti pinjaman buku teks serta khidmat guru bimbingan dan kaunseling dan guru pemulihan turut disediakan bagi menyokong minat murid untuk meneruskan persekolahan,” katanya lagi.

Setakat Jun 2022, kadar keciciran murid di seluruh negara pada peringkat sekolah rendah adalah 0.07 peratus manakala pada peringkat sekolah menengah pula adalah 0.99 peratus.

Isu keciciran juga katanya berlaku apabila ibu bapa terpaksa menanggung kos yang tinggi untuk menghantar anak ke sekolah terutamanya bagi kawasan yang terletak jauh dari rumah.

Katanya, kehadiran murid ke sekolah juga bergantung kepada kemampuan ibu bapa yang secara umumnya berpendapatan rendah.

“Justeru, bagi memastikan akses kepada pendidikan diberi keutamaan, KPM memperluaskan sekolah komprehensif 9 atau K9 dari 12 buah sedia ada kepada 17 buah.

“Matlamat utama sekolah K9 diwujudkan bagi menangani isu keciciran di kawasan pedalaman, terutamanya bagi murid yang menghadapi kesukaran untuk meneruskan pendidikan ke peringkat menengah atas faktor lokasi ke sekolah menengah yang jauh, bentuk muka bumi yang mencabar dan sosio ekonomi keluarga,” katanya.

Sekolah komprehensif 11 (K11) pula adalah inisiatif dalam memberikan akses pendidikan yang lebih menyeluruh dari peringkat rendah hingga menengah selama 11 tahun, iaitu daripada Tahun 1 hingga Tingkatan 5.

“Konsep K11 ini juga dijangka mampu mengurangkan kadar keciciran transisi murid dari Tingkatan 3 ke Tingkatan 4 atau transisi peringkat pengajian menengah rendah ke menengah atas.

“Sekolah K11 juga menjadi inisiatif yang akan menyokong usaha KPM ke arah memastikan murid di kawasan yang dikenal pasti dapat menamatkan pendidikan 11 tahun.

Sebagai permulaan, KPM katanya telah memulakan program rintis K11 di SK RPS Betau, Kuala Lipis, Pahang yang sekarang dikenali sebagai SMK RPS Betau khas bagi murid Orang Asli di kawasan itu.

Program rintis itu juga turut dilaksanakan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Long Bedian, Baram, Sarawak. – Berita Harian

Facebook
Twitter
WhatsApp