TERKINI

Takkan Melayu Hilang Di Dunia, Tapi Melayu Boleh Hilang Kuasa

Gambar hiasan – foto wikipedia

“Tak kan Melayu hilang di Dunia, tapi Melayu boleh hilang kuasa” sepotong ayat yang melekat ke fikiran sewaktu mendengar ucapan yang diberikan oleh Yang Berbahagia Tun Dr Mahathir Mohamad di dalam satu program baru-baru ini.

Sekiranya di gunakan rumus matematik, hilang kuasa bersamaan hilang negara (hilang kuasa = hilang negara).

Hari ini kita boleh mendapati orang Melayu berada di setiap pelusuk dunia. Ada yang menjadi rakyat England, rakyat Amerika Syarikat, Australia, ramai orang Melayu rakyat Afrika Selatan yang telah menetap di sana ratusan tahun, orang Melayu di Filipina, Selatan Thailand dan sebagainya.

Mereka semua masih boleh berbangga bahawa orang Melayu juga mempunyai Tanah Air sendiri yang bernama Malaysia. Sepertimana negara Cina untuk Bangsa Cina dan negara India untuk bangsa India di seluruh dunia.

Kini timbul persoalan dan perasaan bimbang, adakah negara bernama Malaysia ini akan kekal wujud lima puluh tahun ataupun seratus tahun lagi di masa akan datang?

Kerana sekiranya Melayu dan Islam itu bukan lagi menjadi teras identiti kepada Negara ini, maka sudah tentulah nama “Malaysia” yang mempunyai perkataan “Malays” di dalamnya tidak lagi sesuai digunapakai. Ianya pasti akan diganti kepada nama yang lebih sesuai mengikut citarasa pemerintah masa itu.

Kegusaran ini timbul kerana hari ini kita telah melihat disekililing kita, bahawa semangat dan jiwa Melayu semangkin mencair dikalangan segelintir orang Melayu. Di zaman sebelum merdeka dan awal kemerdakaan dahulu, semangat dan jiwa Melayu amat tebal dan pekat di hati dan minda bapa dan datuk moyang kita.

Generasi hari ini mempunyai sikap yang lebih terbuka. Sikap terbuka ini amat baik dan perlu, kerana ia akan membantu diri kita untuk menjadi lebih maju dan progresif.

Sikap terbuka juga penting untuk membantu menjayakan agenda perpaduan antara kaum di negara yang mempunyai penduduk berbilang bangsa seperti Malaysia ini.

Namun apa juga yang kita lakukan perlulah ada Batasan dan hadnya. Adalah satu kesilapan besar sekiranya demi hendak menunjukkan sikap yang terbuka dan menjaga hati, sehingga hak bangsa yang di wariskan oleh datuk moyang kita terlepas ke tangan orang lain.

Bayangkan generasi selepas kita dan seterusnya, jika cairnya jiwa dan semangat Melayu pada hari ini mencecah lima puluh peratus. Apa akan terjadi apabila jiwa dan semangat Melayu mencair melebihi seratus peratus dimasa akan datang? Ada kemungkinan nama Malaysia akan menjadi catatan sejarah sahaja.

Oleh itu, yang boleh memperingatkan kita ialah sejarah yang telah berlaku. Orang Melayu perlu membaca dan mempelajari sejarah bangsanya.

Orang Melayu perlu diingatkan tentang kegemilangan Kerajaan Melayu lama yang hebat seperti Empayar Kerajaan Melayu Melaka dan Srivijaya, supaya kita sedar Melayu itu Bangsa yang bukan calang-calang dan mampu membina Empayar yang besar.

Malah di zaman moden ini Orang Melayu berjaya mentadbir Tanah Airnya menjadi maju dan progresif dan disegani sehingga di gelar “Harimau Asia”.

Orang Melayu juga perlu belajar dari sejarah tentang kesilapan dan kegagalan bangsanya sehingga Tanah Air ini di jajah, orang Melayu perlu mengambil iktibar dan pengajaran bagaimana Tanah Airnya di bahagi-bahagikan dengan hanya menandatangani sekeping kertas perjanjian, wilayah-wilayah di sebelah utara di beri kepada Siam, wilayah-wilayah di sebelah selatan diberi kepada Belanda dan sekarang menjadi milik Indonesia.

Sejarah bangsa perlu diingat, supaya jiwa dan semangat Melayu kekal utuh dan kesilapan lalu tidak berulang sehingga Melayu hilang kuasa dan negara. Kerana ianya adalah realiti, Melayu tak mungkin pupus di dunia ini, tapi Melayu boleh kehilangan segalanya.

Azman Mohd Hashim SM

Artikel ini merupakan pendapat peribadi penulis semata-mata dan tidak semestinya mewakili malayadaily.com

Facebook
Twitter
WhatsApp