TERKINI

Pesuruhjaya RCI digesa respon kenyataan Azalina dan Apandi Ali – Peguam

PUTRAJAYA, 6 April 2024 – Peguambela, Rafique Rashid Ali menggesa Pesuruhjaya Siasatan Diraja (RCI) yang dilantik untuk mengendalikan isu Pualu Batu Putih, mengeluarkan kenyataan sebagai respon mengenai kenyataan Datuk Seri Azalina Othman Said, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) dan kenyataan bekas Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali, yang dilihat membuat kenyataan mendahului proses siasatan RCI.

Rafique berkata dalam kenyataan di facebook, menurut Seksyen 14, Akta Suruhanjaya Siasatan 1950 (Akta 119), yang membuat peruntukan bagi pengadaan Suruhanjaya siasatan dengan jelas menyatakan penghinaan termasuk apa-apa perbuatan tidak hormat terhadap mana-mana Pesuruhjaya pada bila-bila masa.

“Kelakuan dan kenyataan-kenyataan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) dan bekas Peguam Negara dalam isu ini seperti difahami dan dilihat oleh Rakyat boleh tergolong sebagai tidak menghormati proses RCI itu sendiri.

“Ia mempunyai efek seolah-olah mendahului atau tidak menghormati RCI itu serta membelakangkan tugas Pesuruhjaya-Pesuruhjaya yang telah dilantik oleh YDPA Sultan Ibrahim.

“Seksyen 14, Akta Suruhanjaya Siasatan 1950 (Akta 119), yang membuat peruntukan bagi pengadaan Suruhanjaya siasatan, jelas menyatakan penghinaan termasuk apa-apa perbuatan tidak hormat terhadap mana-mana Pesuruhjaya pada bila-bila masa. Ujar Rafique.

Beliau menambah bahawa, kenyataan Azalina dan Apandi Ali adalah menghina RCI kerana kenyataan yang dibuat seolah-olah isu Batu Puteh ini kesalahan mana-mana individu.

“Mana-mana RCI yang ditubuh mempunyai kuasa-kuasa antara lainya untuk menghukum apa-apa perbuatan yang boleh dikatakan menghina RCI.

“Mendahului dapatan RCI serta dengan bebas, tanpa kawalan ,membuat kenyataan seolah-olah isu Batu Puteh ini kesalahan mana-mana individu mesti dihentikan kerana Rakyat berhak kepada satu dapatan yang adil, telus dan Ikhlas melalui satu proses yang bukan sahaja bersih tetapi kelihatan bersih.

Baru-baru ini, Azalina membuat kenyataan di Dewan negara berkaitan isu tersebut dengan mendakwa keputusan untuk menarik balik semakan isu Batu Putih di ICJ yang dibuat pada 29/5/2018 telah dibuat senyap-senyap oleh seorang Perdana Menteri. Beliau juga mendakwa ianya mengakibatkan kehilangan kedaulatan negara.

Azalina juga mendakwa pasukan siasatan yang telah ditubuhkan sebelum ini telah membuat penemuan berkaitan perkara ini dan beliau menyatakan bahawa jika Perdana Menteri berkenaan tidak hadir di RCI beliau boleh ditangkap.

Sementara itu, pada 3 April lepas, media melaporkan bahawa Apandi Ali berkata “Tun sepatutnya meminta nasihat saya kerana saya adalah AG dan bukannya orang bawahan saya di Jabatan Peguam Negara,” katanya kepada New Straits Times.

Dalam laporan tersebut, beliau mendakwa bekas Perdana Menteri, Mahathir telah menarik balik kes di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ).

Kenyataan-kenyataan ini dibuat ketika sekretariat RCI Batu Putih sedang aktif untuk menyusun jadual memulakan prosiding RCI mulai daripada bulan April iaitu bulan ini.

Rafique menggesa agar pesuruhjaya RCI mengeluarkan kenyataan tegas berhubung perkembangan ini.

“Pesuruhjaya -Pesuruhjaya RCI ini mesti mengeluarkan satu kenyataan yang tuntas dan keras kalau tidak RCI ini akan kelihatan lebih mirip polemik politik dari misi mencari kebenaran.

“Rakyat melihat dan tahu lebih dari apa yang disangkakan. Ujarnya. – malayadaily.com

Facebook
Twitter
WhatsApp