TERKINI

Sukan Sea Kemboja : Kegagalan Kontinjen Negara Ada Kaitan Ketidakstabilan Politik – Menteri KBS

Hannah Yeoh, Adam Adli – foto majoriti

KUALA LUMPUR, 20 Mei 2023 – Menteri Belia dan Sukan mengaitkan kegagalan kontinjen negara di pentas Sukan SEA Kemboja dengan ketidakstabilan politik negara sejak lima tahun lalu yang menyaksikan perancangan dan persiapan atlet terjejas.

Hannah Yeoh berkata, sukan antara sektor yang terkesan kerana apa yang telah dirancang termasuk program pembangunan dan pelaksanaan strategi tidak dapat dilaksanakan.

“Saya perlu cakap perkara ini, ketidakstabilan politik dalam lima tahun terakhir termasuk dalam sektor ekonomi menyebabkan kita melihat perkara ini (kegagalan Sukan SEA) sekarang, sukan antara sektor yang terkesan.

“Sebab itu, saranan Yang di Pertuan Agong (Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah) dalam soal kestabilan dalam masa lima tahun sangat penting untuk kita bekerja dan membuahkan hasil.

“Sebelum ini, ada menteri tidak sampai setahun. Keluar bajet, langkah susulan dan me­laksanakan strategi tidak sempat. Macam Norza (Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Tan Sri Mohamad Norza Zakaria) cakap sebelum buat sudah tukar dan ada hala tuju baharu.

“Sebab itu, format projek Road to Gold (RTG) menteri duduk bersama dengan MOM supaya kalau salah satu ditukar, ia tetap berjalan dan tidak terganggu,” katanya dalam sidang akhbar rangkuman prestasi kontinjen Malaysia di Sukan SEA Kemboja di sini semalam.

Mengulas lanjut Hannah berkata, matlamat RTG sekarang adalah mahu memastikan semua pihak berkepentingan bekerjasama untuk membangunkan sukan negara dengan matlamat meraih emas pertama negara di Sukan Olimpik.

Sejak Pilihan Raya Umum Ke-14 pada 2018 yang menyaksikan perubahan besar berlaku dalam landskap politik negara, Kementerian Belia dan Sukan telah bertukar empat menteri.

Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mengambil alih tugas daripada Khairy Jamaluddin dari 2 Julai hingga 24 Februari 2022.

Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican dilantik sebagai menteri dari 10 Mac 2020-16 Ogos 2021 sebelum diganti oleh Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu (30 Ogos 2021-10 Oktober 2022) dan kini Hannah, yang menggalas tugas sejak 3 Disember lalu. – Utusan

Facebook
Twitter
WhatsApp