TERKINI

SPR : Tiada rancangan kajian semula persempadanan negeri-negeri Tanah Melayu dan Sabah

Gambar hiasan – foto Berita Harian

KUALA LUMPUR, 2 Jan 2024 – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa tidak ada perancangan untuk melakukan kajian semula persempadanan untuk negeri-negeri Tanah Melayu dan Sabah ekoran tamat  tempoh lapan tahun yang masih berkuat kuasa.

Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Ghani Salleh berkata, urusan kajian semula persempadanan terhadap bahagian-bahagian pilihan raya sedia ada hanya boleh dilaksanakan selepas tamat lat lapan tahun daripada tarikh siapnya kajian terdahulu.

“Atau apabila terdapat pindaan ke atas komposisi bilangan keanggotaan Ahli Dewan Rakyat atau Dewan Undangan Negeri.

“Urusan kajian semula persempadanan terdahulu bagi negeri-negeri Tanah Melayu telah selesai dijalankan pada tahun 2018. Manakala bagi Sarawak dan Sabah pula adalah masing-masing pada tahun 2015 dan tahun 2017,” katanya.

Menurut Abdul Ghani, sesuatu syor kajian semula persempadanan hanya akan dimulakan apabila terdapat pemberitahuan kepada Yang di-Pertua Dewan Rakyat dan Perdana Menteri oleh SPR.

“Serta disiarkan suatu notis sebagaimana yang diperuntukkan di bawah Bahagian II, Seksyen 4, Jadual Ketiga Belas, Perlembagaan Persekutuan,” katanya.

Sementara itu, beliau menjelaskan, SPR bertanggungjawab mengkaji semula persempadanan bahagian-bahagian pilihan raya Persekutuan dan negeri-negeri berlandaskan kepada prinsip dan tatacara yang ditetapkan di bawah Jadual Ketiga Belas, Bahagian I dan II, Perlembagaan Persekutuan.

“(Iaitu) kewajaran memudahkan diadakan bagi semua pemilih diberi peluang keluar mengundi semasa pilihan raya dan bahagian-bahagian pilihan raya tidak merentasi sempadan negeri dan mengambil kira kemudahan pentadbiran yang boleh didapati dalam bahagian pilihanraya itu untuk mengadakan jentera yang perlu bagi pendaftaran serta pengundian.

“Bilangan pemilih yang lebih kurang sama banyak bagi setiap bahagian pilihan raya dalam sesebuah Negeri kecuali apabila terdapat kesukaran perhubungan dan kesukaran lain yang dihadapi bahagian-bahagian pilihan raya di luar bandar, luas bahagian pilihan raya patut diberi pertimbangan serta perhatian kepada pemeliharaan hubungan tempatan,” ujarnya. – malayadaily.com

Facebook
Twitter
WhatsApp