KOTA BHARU, 17 April 2023 – Kerajaan memberi jaminan bahawa bekalan makanan adalah mencukupi sepanjang tempoh perayaan Aidilfitri.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, rakyat tidak perlu bimbang kerana pihak penguat kuasa sentiasa memantau bekalan barangan mentah seperti ayam, telur dan sayur-sayuran bagi memastikan sama ada ia mencukupi atau sebaliknya.
“Berbelanjalah dengan gembira dan jangan melakukan pembelian panik kerana pihak penguatkuasaan akan memantau bekalan setiap hari untuk memastikan ia mencukupi memandangkan permintaan tinggi menjelang Syawal,” katanya kepada pemberita selepas meninjau Bazar Ramadan Rahmah di pekarangan Stadium Sultan Muhammad IV di sini hari ini.
Beliau turut mengingatkan orang ramai supaya segera membuat aduan sekiranya ada peniaga yang menaikkan harga barangan yang telah ditetapkan.
“Kita berharap orang ramai dapat menyemak senarai harga barangan yang kita umumkan supaya senang untuk kita kenal pasti peniaga terbabit kerana setiap aduan daripada pengguna kita akan ambil maklum,” katanya. – Bernama