TERKINI

Akta Penggal Tetap Parlimen untuk kepentingan siapa?

Rafique Rashid Ali (kiri) – malayadaily.com

KUALA LUMPUR, 18 Jan 2024 – Rang Undang-Undang (RUU) Penggal Tetap Parlimen yang dicadangkan Presiden UMNO, Zahid Hamid adalah bersifat untuk menjaga kepentingan dirinya dan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim.

Ketua Penerangan Parti Pejuang, Rafique Rashid Ali berpandangan, salah seorang daripada individu berkenaan sebelum ini menghadapi pelbagai kes di mahkamah, tetapi telah digugurkan sebaik menjawat jawatan nombor dua dalam kerajaan perpaduan.

“Sebab itu, saya berpendapat RUU yang hendak dibawa atau dicadangkan ini sebenarnya untuk kepentingan dua individu sahaja iaitu Anwar selaku PMX dan dan Zahid selaku Timbalan Perdana Menteri.

“Tiba-tiba saja (ini fakta), bila dia mendapat jawatan TPM dan memberi sokongan kepada PMX, kes-kes yang dihadapinya telah digugurkan.

“Jadi fikirkanlah, adakah ini dengan mengadakan RUU ini untuk demokrasi, negara atau rakyat? Mereka mahukan satu akta bagi tempoh yang tetap, di mana kerajaan sekarang tidak boleh diganggu,” katanya dalam wawancara eksklusif dengan MalayaDaily semalam.

Kata Rafique Rashid, rakyat perlu fikirkan mengapa perkara itu dibangkitkan sekarang dan turut mendapat sokongan NGO BERSIH.

Namun ujar beliau, setakat ini undang-undang negara yang paling tinggi ialah Perlembagaan Persekutuan, yang mengikut Perkara 43(4) tidak membenarkan sesebuah kerajaan kekal berkuasa sekiranya hilang kepercayaan dan tiada keyakinan daripada majoriti ahli Dewan Rakyat terhadap perdana Menteri.

“Tidak dinafikan sesebuah kerajaan perlu kekal untuk kestabilan negara dan memberi peluang melaksanakan dasar serta perkara jangka panjang.

“Tetapi, bagaimanakah sekiranya dalam tempoh itu kerajaan gagal atau tidak mampu membawa pentadbiran dengan baik atau Kabinetnya dipenuhi menteri yang hanya tahu berpolitik, tetapi tidak tahu bekerja.

“Bayangkan kalau perdana Menteri gagal dan tidak dapat menggalaskan tugas dengan baik, semestilah ada kuasa di tangan ahli Dewan Rakyat untuk menggantikannya dengan orang lain,” katanya.

Tambahan pula, katanya, rakyat telah mula mempersoalkan kewibawaan menteri sedia ada dengan membuat kesimpulan berperangai lebih daripada pembangkang.

“Malah, saya percaya perkara ini boleh diselesaikan kalau kita mempunyai seorang perdana menteri yang berpegang teguh kepada prinsip undang-undang dan juga kedaulatan undang-undang dan tidak hanya melihat kepada ketua parti sahaja untuk menjadi menteri.

“Dalam Perlembagaan Persekutuan jelas, menteri atau TPM tidak wajib dilantik daripada mana-mana ketua parti dan perdana menteri mempunyai kuasa untuk menasihatkan Yang di-Pertuan Agong untuk melantik teknokrat dan orang berkelayakan sebagai menteri.

“Masalah paling besar di Malaysia ini kita memberi jawatan menteri bukan berdasarkan merit, tetapi kepada kepartian mereka dan parti mana yang menyokong perdana menteri,” katanya.

Justeru, Rafique Rashid merasakan dasar itu perlu ditukarkan pada pilihan raya akan datang dengan mestikan calon bertanding di kalangan mereka berkelayakan, bukan mengundi berdasarkan logo parti itu. – MalayaDaily

Facebook
Twitter
WhatsApp