TERKINI

Tun Daim ingatkan PM dan SPRM hormati undang-undang

Daim Zainuddin – foto The Star

KUALA LUMPUR, 29 Dis 2023 – Bekas menteri kewangan, Tun Daim Zainuddin mengingatkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan ketua pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tan Sri Azam Baki untuk menghormati kedaulatan undang-undang.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan sebagai reaksi terhadap siasatan SPRM terhadapnya, yang beliau sifatkan sebagai ‘penganiayaan politik’ (political witch hunt) dan kempen politik yang menyasarkan dirinya.

Daim dalam kenyataan tersebut menyelar kenyataan Anwar pada 22 Disember bahawa apa yang berlaku adalah “rahsia umum” dan terdapat seseorang yang “menggondol begitu banyak kekayaan”.

Menurutnya, kenyataan itu cuba membayangkan dia bersalah atas kesalahan yang tidak dinyatakan.

“Ini jelas menunjukkan rasa bencinya terhadap saya,” katanya.

“Ia juga amat tidak wajar dan menyalahgunakan kuasa bagi seorang perdana menteri untuk campur tangan atau mempengaruhi siasatan yang sedang dijalankan dengan membuat sindiran terang-terangan tentang rasa bersalah secara terbuka.

Daim juga mendakwa SPRM tidak berhubung dengan dia atau anggota keluarganya berhubung sebab mereka disiasat.

“Dia (Azam Baki) telah membuat pelbagai komen prejudis terhadap saya di khalayak ramai sementara siasatan masih dijalankan.

“Ia suatu yang tidak boleh diterima, tidak profesional dan mencurigakan.

Daim mengingatkan, sebagai ketua organisasi, Azam Baki mesti bertanggungjawab atas banyak kebocoran berita “sumber” mengenai penyiasatan yang dikatakan.

“Apa yang dipanggil “sumber” ini hanya boleh datang dari dalam SPRM kerana ia bertujuan untuk mendedahkan butiran siasatan tersebut.

Daim mendakwa tujuan kebocoran itu jelas adalah untuk mewajarkan tindakan melampau mereka terhadapnya dan untuk menggambarkan beliau sebagai seorang yang korup dan pesalah.

“Tidak diberitahu tentang kesalahan terhadap saya, saya tidak dalam kedudukan untuk menjawabnya atau membela diri.

“Saya telah, sejak awal penyiasatan ini, memberikan kerjasama sepenuhnya kepada SPRM dan kerap berkomunikasi dengan mereka melalui peguam saya. Oleh itu, adalah kesalahan nyata bagi “sumber” SPRM untuk mendakwa bahawa saya tidak membuat pendedahan yang betul mengenai butiran kewangan yang dituntut oleh SPRM. Ujarnya.

Daim turut menegaskan bahawa semua yang diminta secara bertulis oleh SPRM telah didedahkan dan mengikut undang-undang.

SPRM sebelum ini mengesahkan kepada media bahawa Daim sedang disiasat atas dakwaan rasuah dan pengubahan wang haram.

Agensi antirasuah itu juga telah menyita Menara Ilham, bangunan bernilai komersial tinggi, milik Daim dan keluarganya. – malayadaily.com

Facebook
Twitter
WhatsApp