17 Jan — Seorang aktivis politik, Dr Armin Baniaz Pahamin, menggesa supaya bekas wartawan Free Malaysia Today (FMT), Rex Tan, didakwa berhubung kenyataan dan soalan yang dikemukakan dalam satu syarahan awam, yang didakwa menyinggung perasaan orang Melayu serta berpotensi mencetuskan ketegangan kaum.
Dalam satu kenyataan, Dr Armin mendakwa perbandingan yang dibuat Rex Tan — termasuk menyamakan orang Melayu dengan Yahudi penindas Palestin serta mengaitkan rakyat Palestin dengan masyarakat Cina di Malaysia — sebagai melampaui batas kewarasan wacana intelektual dan tidak bertanggungjawab.
Beliau berkata kenyataan sedemikian bukan sahaja menghina orang Melayu sebagai kaum teras negara, malah meremehkan penderitaan rakyat Palestin dan berisiko mengheret masyarakat Cina Malaysia ke dalam naratif geopolitik yang tidak relevan.
Menurutnya, isu berkenaan tidak wajar diselesaikan sekadar melalui permohonan maaf, sebaliknya memerlukan siasatan menyeluruh termasuk kemungkinan pelanggaran undang-undang berkaitan hasutan, keharmonian awam serta etika kewartawanan.
Dr Armin turut mencadangkan penubuhan badan siasatan bebas bagi menilai silibus dan kurikulum UEC, yang menurutnya mungkin gagal memupuk kefahaman sejarah, jati diri nasional dan sensitiviti antara kaum, susulan latar pendidikan Rex Tan.
“Walaupun kesalahan pengkhianatan mempunyai ambang pembuktian yang tinggi, sebarang perbuatan yang mencetuskan kebencian kaum dan menggugat kestabilan negara tidak boleh dipandang ringan,” katanya.
Beliau menegaskan tuntutan tersebut dibuat atas prinsip kedaulatan undang-undang dan demi mempertahankan keharmonian negara, sambil menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk menentukan tahap kesalahan serta tindakan sewajarnya. – malayadaily