TERKINI

Amaran Cuaca Panas – MetMalaysia

Cuaca Panas – foto Metmalaysia

PETALING JAYA, 24 April 2023 – Suhu di sembilan kawasan di negara ini berada pada Tahap 1 (Berjaga-Jaga) berikutan ianya boleh meningkat sehingga 35 hingga 37 darjah Celsius.

Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) pada petang Ahad memaklumkan sembilan kawasan itu ialah Kuala Terengganu, Jeli, Kuala Krai, Pasir Mas, Tanah Merah, Rompin dan Jempol.

“Manakala terdapat dua kawasan di Sabah berada pada Tahap 1 (Berjaga-Jaga) iaitu di Beaufort dan Nabawan,” katanya menerusi Facebook. Seperti yang dilaporkan oleh akhbar Sinar Harian.

Dalam perkembangan yang sama, sejak semalam, MetMalaysia mengeluarkan amaran bahawa beberapa kawasan akan dilanda suhu maksimum harian mencecah 35 hingga 37 darjah Celcius sekurang-kurangnya selama tiga hari berturut-turut.

Semalam, pihak berkuasa Thailand memberi amaran kepada penduduk di sebahagian besar kawasan di negara itu termasuk Bangkok supaya mengelak daripada berada di luar rumah disebabkan cuaca panas melampau.

Menurut Jabatan Meteorologi Thailand, suhu mencecah 42 darjah Celsius di daerah Bangna di Bangkok, manakala indeks haba pula mencapai rekod setinggi 54 darjah Celsius.

Jabatan Pencegahan dan Mitigasi Bencana Thailand menjangkakan suhu melepasi bacaan 40 darjah Celsius di sekurang-kurang 28 wilayah.

Sementara itu, jurucakap kerajaan Thailand, Anucha Burapachaisri berkata, cuaca panas melampau meningkatkan penggunaan elektrik di Thailand. – Utusan

Facebook
Twitter
WhatsApp