TERKINI

Putra kecam campur tangan dalam pembatalan Program Khatam al-Quran di sekolah kerajaan

Surat yang tular di media sosial

KUALA LUMPUR, 8 Jan 2023 – Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) mengecam tindakan Pejabat Tadbir Urus di Kuching, Sarawak melarang sekolah di negeri itu menganjurkan Program Khatam al-Quran.

Tegas Ketua Penerangannya, Shahrulufti Sharif, tindakan itu adalah satu bentuk pelanggaran yang tidak dapat diterima terhadap Artikel 3 Perlembagaan Persekutuan.

Katanya, larangan itu juga merupakan penghinaan terhadap institusi Islam, termasuk Yang di-Pertuan Agong sebagai Ketua Agama Islam di negara ini termasuk Sabah dan Sarawak.

“Kita menegaskan, amalan Islam dan aktiviti untuk pelajar muslim tidak seharusnya menjadi sasaran campur tangan atau halangan tanpa mengira misi sekolah tersebut.

“Islam adalah Agama Persekutuan, ini adalah hak yang dilindungi dan termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan serta perlu dihormati,” katanya dalam kenyataan kepada MalayaDaily, hari ini.

Terdahulu, tular satu surat yang dikatakan daripada Pejabat Tadbir Urus di Kuching, Sarawak yang ditujukan kepada Guru Besar Sekolah di negeri itu menolak program Khatam al-Quran peringkat Kebangsaan 2023/2024 yang dijadualkan 3 Februari ini dari jam 7.30 pagi hingga 12 tengah hari.

Surat larangan bertarikh 21 Disember 2023 itu ditujukan kepada Guru Besar sekolah di negeri itu.

Surat berkenaan menyatakan ketidakselesaan dan ketidaksetujuan terhadap program berkenaan untuk murid Tahun 6 sekolah tersebut.

Menurut Shahrulufti, Kementerian Pendidikan perlu memberi perhatian serius terhadap sebarang tindakan yang menghina Islam oleh pentadbiran sekolah kerajaan.

Jelas beliau, institusi kerajaan sepatutnya mengakui bahawa Islam adalah identiti nasional negara ini dan tidak boleh dipisahkan daripadanya.

“Kami turut merasa kecewa dan dukacita dengan sekatan terhadap aktiviti keagamaan termasuk larangan takbir dan qunut nazilah serta kini larangan Majlis Khatam al-Quran di sekolah kerajaan.

“Tindakan ini tidak dapat diterima dan menunjukkan ketidakpenghargaan terhadap amalan keagamaan dan hak-hak berperlembagaan di Malaysia, terutama dalam konteks sekolah-sekolah kerajaan,” tegas beliau. – malayadaily.com

Facebook
Twitter
WhatsApp