TERKINI

Analisis Berita: Pembunuhan Ismail Haniyeh

Ismail Haniyeh (Tengah) – foto Jerusalem post

Pada Rabu, 31 Julai lalu, Pemimpin nombor 1 Hamas, Ismail Haniyeh telah terbunuh dalam satu serangan bom. Menurut laporan, serangan bom itu berlaku di tempat penginapannya di Neshat, sebuah kawasan kejiranan mewah di utara Tehran, Iran.

Menurut laporan media Fars, Ismail Haniyeh ketika itu sedang berada di Tehran untuk majlis meraikan Presiden Iran Masoud Pezeshkian.

Akhbar The New York Times dalam laporan awalnya mendakwa bahawa, letupan yang telah membunuh Ismail Haniyeh itu telah dipasang secara rahsia di kediaman tersebut kira-kira dua bulan lalu. Akhbar tersebut turut mendakwa ia dikendalikan dan dilindungi oleh Kor Pengawal Revolusi Islam.

Namun, laporan berbeza dikeluarkan oleh media Iran, irna yang melaporkan bahawa letupan yang berlaku adalah berpunca menerusi serangan bom dari luar iaitu peluru berpandu jarak dekat yang menyasarkan bilik penginapan pemimpin Hamas tersebut.

Sementara itu, laporan dari akhbar BBC di London yang memetik laporan The New York Times, mendakwa berpuluh-puluh pegawai The Islamic Revolutionary Guard Corps (IRGC) telah ditangkap atau dibuang kerja sejak pembunuhan Ismail Haniyeh.

Manakala semua kakitangan di rumah tamu Haniyeh, telah disoal siasat dan telefon serta peralatan elektronik lain telah dirampas. Akhbar itu berkata agensi perisikan Iran telah mengambil alih keseluruhan siasatan serangan tersebut.

Dalam perkembangan yang sama, akhbar di UK, The Telegraph melaporkan bahawa agensi perisik Mossad telah menggunakan Pegawai Pengawal Revolusi Iran dan meminta ejen tersebut menanam bahan letupan di rumah tamu Tehran di mana ketua Hamas Ismail Haniyeh tinggal.

Laporan itu datang di tengah-tengah berita bahawa pihak berkuasa di Tehran sedang menjalankan beberapa siri penangkapan berhubung dengan pembunuhan itu.

New York Times pula mengatakan bahawa beberapa pegawai perisikan kanan Iran, pegawai tentera, dan kakitangan di rumah tamu itu adalah antara puluhan pegawai yang ditahan dan disoal siasat.

Hingga kini, siasatan terperinci masih belum mendedahkan apa-apa penemuan berhubung serangan tersebut.

Sebelum ini, Ismail Haniyeh pernah terselamat dalam cubaan membunuhnya di Gaza, pada tahun 2003 ketika dia menjadi pembantu kepada pengasas Hamas, Sheikh Yassin.

Pada awal tahun 2024, Timbalan Ismail Haniyeh, Saleh al Arouri telah dibunuh oleh Israel.

Kemudian pada Jun tahun ini juga, kakak dan ahli keluarga Ismail Haniyeh telah terbunuh dalam serangan udara Israel.

Dan terbaru, tiga anak lelakinya, Hazem, Amir dan Mohammad, turut dibunuh oleh Israel dalam satu serangan udara di utara Gaza.

Kematian Ismail Haniyeh telah menggegarkan senario politik di Timur Tengah kerana ia berlaku ketika rundingan gencatan senjata antara Palestin dan Israel, sedang berjalan.

Pembunuhan Haniyeh ini pastinya akan mengganggu rundingan gencatan senjata yang melibatkan Israel, Amerika Syarikat, Mesir dan Qatar mengenai syarat untuk menamatkan perang di Gaza dan membebaskan puluhan tebusan Israel yang ditahan sejak 7 Oktober 2023.

Sehingga kini, terdapat pelbagai laporan dan dakwaan mengenai serangan yang membunuh pemimpin Hamas ini.

Terbaru, satu sumber diplomatik telah mendedahkan bahawa pembunuhan Ismail Haniyeh oleh Israel telah diminta oleh sebuah negara di Timur Tengah sebagai sebahagian daripada rancangan untuk mengurus perang Israel ke atas Gaza.

Sumber tersebut menyatakan bahawa Presiden negara Timur Tengah tersebut, meminta pegawai kanan Israel mempertimbangkan operasi untuk membunuh Haniyeh dan menghapuskan semua pemimpin politik Hamas sebelum penglibatan negara tersebut dalam menguruskan Gaza.

Menurut laporan, rancangan negara tersebut telah dibentangkan semasa mesyuarat rahsia yang diadakan di Abu Dhabi pada 18 Julai lalu dimana kemudiannya ia didedahkan oleh media Amerika

Laporan itu menambah, semasa pertemuan rahsia itu, wakil negara terbabit telah menggariskan rancangan komprehensif untuk menguruskan Gaza tanpa adanya pemerintahan Hamas. Maka, untuk menjayakan cadangan tersebut, semua pemimpin Hamas perlu dihapuskan.

Hingga kini, pelbagai dakwaan dilaporkan oleh media antarabangsa berhubung pembunuhan pemimpin Hamas ini. Kita mungkin tidak akan tahu kebenaran disebalik semua laporan ini.

Tetapi yang pasti, siri pembunuhan para pemimpin Hamas akan terus berlaku, dan ini akan merumitkan lagi proses damai di Timur Tengah, khususnya Palestin.

Kita hanya mampu tunggu dan lihat. – Editor

Facebook
Twitter
WhatsApp