TERKINI

Angkat Sumpah Exco Melaka Diadakan Rabu – Ketua Menteri Melaka

foto melaka.gov.my

AYER KEROH, 3 April 2023 – Majlis mengangkat sumpah jawatan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Melaka akan diadakan pada Rabu ini.

Ketua Menteri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata, bagaimanapun senarai lengkap cadangan nama barisan Exco itu akan dipersembahkan terlebih dahulu kepada Yang Dipertua Negeri Tun Mohd Ali Rustam.

Katanya, istiadat angkat sumpah berkenaan juga akan diadakan sebelum keberangkatan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang dijadual mengadakan kunjungan ke Melaka pada petang Rabu.

“Seperti mana saya janjikan, bahawa saya akan melengkapkan senarai nama cadangan Exco dalam masa 48 jam, telah saya sempurnakan. Cuma, upacara angkat sumpah akan diadakan pada hari Rabu ini.

“Setelah berunding dengan Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi semalam, senarai nama itu telah pun diterima.

“Dan saya akan berjumpa Mohd Ali pula selepas beliau balik dari luar negara. Waktunya akan diberitahu nanti,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengimbas perakam waktu pada hari pertama bertugas di Pejabat Ketua Menteri Melaka, Kompleks Seri Negeri di sini hari ini.

Katanya, bagaimapun beliau yakin barisan baharu itu akan mampu mengimbangi pentadbiran kerajaan negeri.

“Portfolio ini, saya dah kata, ia cantik dan menarik, (jadi) komposisinya nanti saya beritahu. Kalau beritahu sekarang, tak seronok.

“Barisan baharu ini adalah untuk mengimbangi pentadbiran kerajaan negeri dan mengambil pendekatan apa yang sedang kita jalankan diperingkat persekutuan dan ianya akan kita azamkan di Melaka,” tambahnya. – sumber Awani

Facebook
Twitter
WhatsApp