TERKINI

Pilihan raya PBT, wujudkan jurang antara kaum di bandar – Ketua Penerangan Pejuang

Rafique Rashid – malayadaily.com

KUALA LUMPUR, 20 Dis 2023 – Cadangan pelaksanaan semula pilihan raya pihak berkuasa tempatan (PBT) yang pernah dihentikan pada tahun 1965 didakwa hanya akan menambah jurang antara kaum di negara ini.

Menurut Ketua Penerangan Parti Pejuang Tanahair (Pejuang), Rafique Rashid berkata, ia turut akan mengurangkan kuasa kerajaan negeri kerana kuasa mereka yang dipilih melalui undian lebih tinggi berbanding dengan kuasa mereka yang dilantik.

Menurutnya lagi, komposisi kerusi Dewan Rakyat pada hari ini juga menunjukkan parti DAP mempunyai 40 daripada 152 kerusi yang menyokong kerajaan atau lebih kurang 26.3 peratus di mana semua kerusi yang dimenangi mereka adalah di kawasan bandar.

“Dengan jumlah kerusi yang sebesar itu, ia tidak menghairankan jika Tan Kok Wai (Ahli Parlimen Cheras) menggesa agar pilihan raya PBT diadakan semula.

“Kuasa orang Melayu akan semakin berkurang di bandar-bandar yang boleh mewujudkan kebarangkalian tinggi untuk berlakunya kurang selesa antara kaum.

Rafique juga berkata tiada sebarang jaminan bahawa sifar penyelewengan dan salah guna kuasa diperingkat PBT boleh berlaku sekiranya pilihan raya PBT dibuat.

Tambah beliau lagi, pilihan raya PBT tidak sesuai dan tiada keperluan untuk dilaksanakan kerana sudah wujud kerajaan negeri.”Malaysia mengamalkan konsep federalisme di mana kita mempunyai kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri.

“Memandangkan PBT di bawah kuasa negeri dan ahli-ahli majlis PBT dilantik oleh kerajaan negeri, pada hakikatnya rakyat sudah memilih ‘ahli-ahli majlis’ PBT apabila mereka membuang undi semasa pilihan raya DUN.

“Jika rakyat tidak berpuashati dengan PBT, mereka mempunyai kuasa untuk menukar kerajaan negeri dan secara tidak langsungnya, menukar ‘ahli-ahli majlis PBT’ dengan mengundi kerajaan negeri yang baharu,” katanya.

Sebelum ini, Tan Kok Wai yang juga Pengerusi DAP Wilayah Persekutuan, mencadangkan kepada kerajaan supaya memulakan pilihan raya pihak berkuasa tempatan (PBT) di bandar raya itu.

Katanya, pengenalan pilihan raya PBT di Kuala Lumpur bertujuan untuk kelestarian dan memberi pilihan kepada penduduknya memilih ahli majlis tempatan.

Namun, cadangan itu mengundang reaksi pelbagai pihak. – malayadaily.com

Facebook
Twitter
WhatsApp