TERKINI

Isu pencen : Apakah akan wujud dua kelas penjawat awam? – Dr Marzuki

Marzuki Mohamad – malayadaily.com

KUALA LUMPUR, Bekas Ketua Setiausaha Sulit Kanan Perdana Menteri Ke-8, Dato’ Dr Marzuki Mohamad berkata pengumuman kerajaan mengenai pencen penjawat awam akan mewujudkan dua kelas perkhidmatan yang mana penjawat awam baharu yang dilantik selepas Februari 2024 akan menerima pendapatan bersih (take home income) yang lebih kecil daripada penjawat awam sedia ada yang berpencen.

Dalam satu entri di media sosial facebook, Marzuki berkata langkah kerajaan ini hanyalah bersifat sementara (interim) sebelum skim baharu diperkenalkan.

“Kalau mereka itu dilantik secara Contract of Service (COS), segala kemudahan yang mereka nikmati akan tercatat di dalam kontrak.

“Saya harap mereka akan menikmati semua kemudahan yang dinikmati oleh penjawat awam sedia ada supaya tidak timbul dua kelas perkhidmatan sedangkan tanggungjawab yang mereka pikul adalah sama.

“Yang berbeza ialah pegawai lantikan kontrak akan mencarum 11% daripada gaji mereka kepada KWSP. Pegawai lantikan tetap dan berpencen tidak perlu membuat caruman kepada KWSP.

“Maka take home income pegawai lantikan kontrak adalah lebih rendah daripada pegawai lantikan tetap dan berpencen. Ujarnya.

Marzuki juga membangkitkan beberapa persoalan antaranya isu berkaitan permohonan pegawai sedia ada yang berjawatan tetap dan berpencen untuk dilantik ke jawatan gred yang lebih tinggi dalam skim yang baharu kelak.

“Misalnya, pegawai Gred 29 sedia ada yang berjawatan tetap dan berpencen memohon untuk dilantik ke jawatan Gred 41 selepas Februari 2024.

“Adakah pegawai ini akan mengekalkan status tetap dan berpencen setelah dilantik ke Gred 41 atau bertukar ke status kontrak dan selepas itu diserap ke dalam skim baharu tetap dan tidak berpencen?

“Jika begitu, sanggupkah pegawai ini mengorbankan hak pencennya untuk naik pangkat, atau mengorbankan peluang naik pangkat semata-mata untuk menikmati pencen selepas bersara? Soal Marzuki.

Beliau dalam kenyataan yang sama turut membayangkan masalah yang akan timbul sekiranya gaji pegawai berstatus tetap tidak berpencen adalah sama dengan gaji pegawai tetap dan berpencen, maka take home income pegawai tidak berpencen akan lebih rendah daripada pegawai berpencen kerana mereka perlu tolak 11% daripada gaji mereka untuk caruman KWSP.

“Adakah kerajaan akan menaikkan gaji pegawai tetap tidak berpencen untuk membolehkan mereka menikmati take home income yang sama?

Dalam pada itu, Marzuki turut menggesa kerajaan untuk melaksanakan kajian untuk melihat jumlah simpanan persaraan pegawai tidak berpencen dalam KWSP apabila mereka bersara pada umur 60 tahun.

“Adakah mereka akan mempunyai jumlah simpanan yang secara relatifnya setara atau lebih baik berbanding jumlah bayaran pencen yang diterima oleh pegawai berpencen untuk menyara kehidupan selepas bersara?

“Perlu diingat bahawa negara kita sedang beralih ke “ageing nation” iaitu lebih ramai rakyat negara kita hidup sebagai warga emas pada masa akan datang.

“Sekiranya jumlah simpanan persaraan mereka kurang daripada jumlah pencen yang diterima oleh pegawai lantikan tetap dan berpencen untuk suatu tempoh masa tertentu, adakah kerajaan bercadang untuk menambah caruman majikan melebihi 12% kepada pegawai tidak berpencen?

“Atau adakah kerajaan bercadang untuk memperkenalkan manfaat persaraan (retirement benefits) tambahan kepada mereka? Jika ya, apakah implikasi kewangan kepada kerajaan?

Beliau turut mengingatkan bahawa gaji penjawat awam secara relatifnya adalah lebih rendah daripada pekerja swasta, terutamanya mereka dalam kategori kakitangan sokongan seperti kerani, pembantu pejabat dan lain-lain.

“Sekiranya jumlah caruman KWSP majikan untuk mereka adalah sama seperti pekerja swasta, dan tiada manfaat persaraan tambahan diberikan kepada mereka, ramai daripada mereka akan tergolong dalam kategori miskin selepas bersara. Kata Marzuki.

Baru-baru ini Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dilaporkan berkata, Kabinet bersetuju perjawatan bagi penjawat awam baharu berstatus tetap selepas ini adalah tidak berpencen.

Menurut Ahmad Zahid, bagi penjawat awam sedia ada, status berpencen mereka tidak terjejas, sementara penjawat awam baharu itu kelak akan membuat caruman menerusi Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Beliau berkata, pendirian itu dibuat kerajaan selepas menilai bahawa menjelang 2040, jumlah pencen yang terpaksa ditanggung kerajaan jika sistem saraan sedia ada tidak dipinda, akan mencecah RM120 bilion setahun. – malayadaily.com

Facebook
Twitter
WhatsApp