TERKINI

Anwar Didesak Dedah Segera Bukti Dakwaannya

Foto malayadaily.com

KUALA LUMPUR, 8 Mei 2023 – Tindakan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim membuat pelbagai tuduhan rasuah terhadap pemimpin dalam ucapannya tanpa mendedahkan bukti telah mengundang kritikan beberapa pemimpin.

Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan dalam satu kenyataan mempersoalkan dimana pergi bahan bukti berdasarkan tuduhan Anwar itu.

“Mana perginya ‘berkotak-kotak’ bahan-bahan bukti salahlaku Tun Dr Mahathir Mohamad sepertimana yang diwar-warkan sejak tahun 1998 dahulu?

Khairuddin yang juga Ketua Mobilisasi Proklamasi Orang Melayu berkata Anwar seharusnya mendedahkan bukti tersebut tanpa bertangguh.

“Sepatutnya Anwar Ibrahim harus dedah saja bahan-bahan bukti tersebut tanpa buat sebarang penangguhan.

“Hari-hari Anwar Ibrahim hanya bermain politik murahan dan bercakap politik menuduh orang lain tanpa mampu mempamerkan sebarang bukti.

Dalam isu yang sama, bekas Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang, Datuk Dr Mohammad Fairus Khairuddin meminta agar Anwar berdepan secara anak jantan menghadapi saman sivil Tun Mahathir.

“Jika Anwar menuduh tokoh-tokoh yang berkaitan itu kononnya ‘sakau duit rakyat’, maka buktikanlah tuduhan-tuduhan itu dalam mahkamah dan sila berdepan secara anak jantan dengan saman sivil Tun Dr. M.

Fairus juga mempersoalkan mereka yang juga menyakau, kini bersama dalam barisan kabinet dan kerajaan Anwar.

“Bagaimana pula dengan ‘geng-geng penyakau’ lain yang sebelum ini Anwar begitu sekali meratib tanpa henti menuduh kononnya mereka itu semua korup dan mengamalkan kronisme serta nepotisme?

“Kini nampaknya ramai yang Anwar tuduh itu telah menjadi sekutunya pula membentuk kerajaan campuran.

Sebelum ini, Perdana Menteri ini menggunakan pentas Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Kerajaan Negeri Pulau Pinang dan Negeri Sembilan mengulangi dakwaan bahawa pemimpin-pemimpin terdahulu dilihat hanya mengaut keuntungan untuk diri sendiri dan keluarga ketika pentadbiran masing-masing. – malayadaily.com

Facebook
Twitter
WhatsApp