TERKINI

Anwar Gagal Beri Penjelasan Munasabah – Peguam

Rafique Rashid – foto FMT

KUALA LUMPUR, 11 Sept 2023 – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim gagal memberikan penjelasan munasabah penarikan balik kes membabitkan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, kata Pejuang.

Ketua Penerangan Pejuang Rafique Rashid berkata, presiden PKR itu seolah-olah cuba menegakkan benang yang basah dan penjelasannya menimbulkan lebih banyak persoalan susulan keputusan mahkamah membebas tanpa melepaskan Zahid.

“Anwar cuba melihatkan seolah-olah beliau amat-amat memahami reaksi rakyat dalam perkara ini, tapi pada masa yang sama masih lagi mempertahan Zahid yang jelas seharusnya diselesaikan bicara penuh tanpa memperolehi laluan mudah jalan DNAA,” kata Rafique.

Anwar baru-baru ini memaklumkan telah memohon penjelasan panjang lebar dari mantan Peguam Negara Tan Sri Idrus Harun mengenai isu tersebut, dan berkata nota saranan dari seorang timbalan pendakwa raya yang bocor bertarikh Okt 2018 juga telah dikaji oleh mantan peguam negara serta surat representasi 200 halaman sebelum membuat keputusan.

“Tidakkah ini pelik? Mantan peguam negara dilantik pada Mac 2020 dan tamat perkhidmatan pada Sept 2023, dalam tempoh tersebut langsung tiada apa-apa penarikan balik kes terhadap Zahid disyorkan kecuali pada 4 Sept 2023.

“Malah semasa Idrus memegang jawatan peguam negara semasa era perdana menteri ke-8 dan perdana menteri ke-9, prosiding kes ini diteruskan dan Zahid dipanggil membela diri,” kata Rafique, dalam satu kenyataan.

Rafique juga mempersoalkan tiada syor dikemuka ketika itu,sedangjan Idrus sebagai peguam negara mempunyai akses penuh kepada keseluruhan kertas siasatan.

“Mengapa tiada syor pada awal lagi? Mengapa tiada syor sebelum dipanggil bela diri?

“Pada Ogos 2023, Idrus menyatakan tiada sebab atau alasan munasabah untuk teliti semula semua kes yang telah didakwa di mahkamah melibatkan pemimpin tertentu,” katanya.

Manakala penjelasan Anwar pula kata Rafique menimbulkan lebih banyak persoalan.

“Apa istimewa sangat Zahid sehingga dilayan sebegini rupa? penjelasan Anwar membawa lebih banyak persoalan dan menimbulkan banyak lagi spekulasi.

“Yang pasti, ianya bak bangkai gajah ditutup nyiru!,” tambah Rafique lagi. – malayadaily.com

Facebook
Twitter
WhatsApp