BERLIN, 14 Mac 2024 – Malaysia, pengeluar minyak sawit kedua terbesar dunia, menggesa Jerman untuk mengambil pendekatan lebih inklusif dan adil berkaitan eksport komoditi itu ke Eropah.
Kenyataan itu disuarakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang turut berkongsi kebimbangan Malaysia mengenai dasar Kesatuan Eropah (EU) berkaitan perubahan iklim, termasuk Peraturan Penebangan Hutan yang sebaliknya boleh menjadi satu bentuk langkah dagangan bukan tarif.
Kebimbangan itu telah dibangkitkan dalam pertemuan Anwar dengan Naib Canselor Jerman merangkap Menteri Ekonomi dan Tindakan Iklim, Robert Habeck.
Pertemuan itu diadakan di Berlin Station sebelum Anwar menyampaikan ucaptama pada acara tahunan SME Future Day 2024 (Mittelstand).
Anwar yang juga Menteri Kewangan, turut disertai oleh Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan; Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Utama Zafrul Tengku Abdul Aziz serta Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick.
Kedua-dua pemimpin harapkan hasil positif
Menyentuh Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) Malaysia-EU, kedua-dua pemimpin itu turut menzahirkan harapan bagi hasil yang positif daripada usaha membabitkan pakar teknikal masing-masing untuk memulakan perbincangan.
Rundingan FTA itu telah dimulakan pada 2010, namun ditangguhkan selepas tujuh pusingan pada 2012.
Perkembangan terbaharu menyaksikan Malaysia dan kumpulan blok perdagangan itu memulakan langkah skop berkaitan baru-baru ini bagi mengenal pasti jurang dalam kedudukan serta pendirian masing-masing yang dapat memberi hala tuju dalam memastikan sebarang rundingan akan mengambil kira aspek kos serta manfaat untuk negara.
Malaysia setakat ini telah melaksanakan sebanyak 16 FTA dan 62 perjanjian jaminan pelaburan.
Isu lain yang turut diketengahkan dalam perbincangan itu adalah Pembangunan Kapasiti dan Peningkatan Kemahiran, cadangan kerjasama untuk meningkatkan kemahiran perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) menerusi latihan bersama, bengkel dan program bimbingan.
Pada masa sama, Malaysia turut melahirkan rasa penghargaan di atas sokongan Jerman terhadap Asean menerusi Jawatankuasa Penyelaras Asean mengenai PMKS dan Akses Asean (platform perniagaan untuk pengembangan pasaran di negara-negara anggota Asean).
Menyentuh aspek pendidikan, Anwar memaklumkan Habeck mengenai kehadiran lebih 1,000 penuntut Malaysia yang mengikuti pengajian di Jerman pada masa ini, terutama dalam bidang kejuruteraan dan berharap kehadiran lebih ramai lagi, termasuk dalam Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).
Perdana Menteri berkata, Malaysia turut mengalu-alukan penyertaan Jerman dalam bidang peralihan tenaga – Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Nasional (NETR) dengan matlamat sebagai ekonomi lebih bersih, pertumbuhan hijau, strategi penyahkarbonan dan pembiayaan hijau.
Anwar berkata, Malaysia berminat untuk menyertai kelompok ‘Climate Club’ yang membabitkan pengaturan pelbagai hala antara negara-negara bagi melaksanakan tindakan bersama berkaitan selain mengalu-alukan sokongan Jerman dalam aspek pembinaan kapasiti, pemindahan teknologi dan bantuan kewangan. – Bernama