TERKINI

Proklamasi Orang Melayu : Politik Identiti Tak Boleh Disekat – Prof Madya Dr Azeem

Azeem Fazwan Ahmad Farouk – foto malayadaily.com

PULAU PINANG, 2 Julai 2023 – Pengarah Pusat Penyelidikan Dasar dan Kajian Antarabangsa (CenPRIS) Universiti Sains Malaysia (USM), Prof. Madya Dr. Azeem Fazwan Ahmad Farouk menegaskan bahawa politik yang berasaskan identiti tidak boleh disekat kerana ia merupakan salah satu asas sistem demokrasi yang diamalkan di Malaysia.

Beliau berkata demikian dalam satu temubual oleh malayadaily baru-baru ini.

“Saya rasa dalam negara yang mengamalkan demokrasi, politik identiti ini tidak boleh disekat, tak kiralah politik Melayu ke politik apa-apa saja bentuk politik kerana satu daripada asas demokrasi barat ini ialah setiap kumpulan boleh membuat tuntutan kepada kerajaan.

“Tak kiralah dalam bentuk apa sekalipun, samada mereka kumpulan yang radikal ke, kumpulan yang tidak radikal ke, kumpulan etinik ke, bukan kumpulan etnik ke, kumpulan yang mewakili peniaga ke, kumpulan yang mewakili peguam ke, mereka berhak untuk mendesak kerajaan untuk melakukan sesuatu.

Menurut Azeem, dalam konteks ini, melihat kepada politik Malaysia selepas merdeka hingga hari ini, politik etnik merupakan satu lumrah dalam politik Malaysia.

Tambah beliau lagi, banyak parti-parti politik yang berasaskan kepada ‘etnicity’ seperti UMNO parti yang mewakili orang Melayu, PPBM juga dikatakan parti yang mewakili orang Melayu, Pejuang yang mewakili orang Melayu, MCA Cina, MIC India lepas tu ada PBB di Sabah Sarawak dsb. Ada parti-parti yang berasaskan kepada etnik.

“Walaupun parti-parti yang mengatakan mereka bukan parti etnik juga merupakan parti yang didominasi oleh satu kumpulan etnik sebagai contoh Gerakan. Gerakan sebenarnya mengatakan mereka bukan parti etnik, parti berbilang kaum tetapi didominasi oleh satu kumpulan etnik, DAP juga begitu.

“Jadi, tidak ada sesuatu yang pelik sekiranya Tun Dr Mahathir ingin melaksanakan atau pun menzahirkan kebimbangan beliau mengenai apa yang berlaku dalam masyarakat Melayu, samada ianya berasaskan kepada realiti atau pun tidak, itu perkara yang kedua.

“Tetapi dalam konteks negara yang mengamalkan sistem demokrasi parti-parti politik boleh menggunakan apa sahaja bentuk, apa yang dipanggil sebagai ‘asas’.

Beliau juga berpendapat bahawa parti-parti politik boleh menggunakan pelbagai asas untuk menarik minat sesuatu kumpulan itu untuk menyokong mereka.

“Jadi ini merupakan salah satu ‘alat’ yang digunakan untuk menarik minat orang Melayu untuk menyokong Proklamasi Orang Melayu ini.Dan mungkin untuk menarik minat parti-parti politik yang memperjuangkan isu-isu orang Melayu untuk bersatu, itu sahaja.

Terdahulu, pada 19 Mac 2023, bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad telah melancarkan Proklamasi Orang Melayu.

Proklamasi tersebut mengandungi dua belas perkara yang ditulis sendiri oleh Dr. Mahathir sebagai agenda orang Melayu dan bukan agenda mana-mana parti politik.

Dr Mahathir menjelaskan bahawa tujuan proklamasi ini diadakan adalah untuk memberi kesedaran kepada orang Melayu mengenai situasi politik negara masa kini.

Kempen mendapatkan tandantangan menyokong Proklamasi ini sedang berjalan diseluruh negara ketika ini. – malayadaily.com

Facebook
Twitter
WhatsApp