TERKINI

Anwar Mahu Kaji Skim Gaji Awam Kerana Prihatin, Bukan PRN

Anwar Ibrahim – foto Berita Harian

KUALA LUMPUR, 24 Julai 2023 – Imbuhan tetap untuk penjawat awam akan diumumkan dalam masa terdekat, antara seminggu dua lagi, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menteri kewangan itu berkata, cadangan tersebut tidak dibuat berikutan akan berlangsungnya Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri pada 12 Ogos depan.

Sebaliknya, saranan untuk mengkaji skim gaji penjawat awam itu dibuat kerana beliau adalah seorang perdana menteri yang prihatin.

“Ini bukan sebab nak pilihan raya negeri tetapi saya mahu dikenali sebagai Anwar yang prihatin.

“Pelarasan ini dilakukan untuk meningkatkan skim gaji guru dan penjawat awam yang lain sekali gus bagi mengurangkan jurang perbezaan skim gaji,” katanya.

Perkara itu juga akan dibawa dalam mesyuarat pengurusan pertama pelarasan skim gaji itu minggu ini, yang akan dipengerusikannya.

“Saya fikir pendekatan lama skim pelarasan gaji perlu dirombak, tunggu pengumuman dan sedikit penyesuaian dalam tempoh seminggu atau dua minggu lagi,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam program Cakna Madani bersama pegawai perkhidmatan pendidikan Kementerian Pendidikan di Kampus Kesihatan Universiti Sains Malaysia (USM), Kubang Kerian, Kota Bharu, semalam.

Pada Julai lalu, Anwar berkata cadangan itu akan dikemuka dalam mesyuarat dengan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali serta Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Datuk Dr Zulkapli Mohamad sebelum PRN berlangsung.

Katanya, ganjaran munasabah dan adil wajar diberikan kepada penjawat awam berikutan tiada kenaikan dalam tempoh yang agak lama.

Kelantan, Terengganu, Kedah, Selangor, Negeri Sembilan, dan Pulau Pinang akan menjalankan pilihan raya negeri selepas Dewan Undangan Negeri (DUN) mereka tidak dibubarkan serentak ketika Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) pada November, tahun lalu.

Perikatan Nasional (PN) menguasai Kelantan, Terengganu, dan Kedah, manakala Pakatan Harapan (PH) menguasai Selangor dan Pulau Pinang, dengan Barisan Nasional (BN) yang kini sebahagian komponen kerajaan perpaduan bersama PH menguasai Negeri Sembilan.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Tan Sri Abdul Ghani Salleh pada 5 Julai mengumumkan penamaan calon untuk PRN itu akan diadakan pada 29 Julai, manakala pengundian awal dijadual pada 8 Ogos.

Sebanyak 245 kerusi DUN akan menjadi rebutan parti politik yang bertanding. – Bernama

Facebook
Twitter
WhatsApp