TERKINI

Apa Makna Bandaraya Jika Rakyat Menderita – Mohd Zin Mohamed

Mohd Zin Mohamed – malayadaily.com

KUALA LUMPUR, 27 Julai 2023 – Tiada makna mengiktiraf status Klang, Selangor sebagai bandar raya ke-20 di Malaysia tetapi penduduknya miskin, kata Timbalan Pengerusi Proklamasi Orang Melayu Selangor Datuk Seri Ir Mohd Zin Mohamed.

Mohd Zin berkata, pengumuman itu juga dilihat sebagai tergesa-gesa memandangkan Selangor adalah antara enam negeri yang terlibat menjalankan Pilihan Raya Negeri (PRN) pada 12 Ogos, depan.

“Bersempena dengan PRN tidak lama lagi, kerajaan persekutuan dengan tergesa-gesa mengumumkan Klang sebagai bandar raya yang ke-20 di Malaysia.

“Ramai yang pelik dengan pengumuman ini, sedangkan pada Januari lepas, kerajaan negeri Selangor menyatakan yang Klang masih mempunyai lebih 30 peratus daerah kampung yang berpenduduk miskin,” katanya, dalam satu kenyataan, hari ini.

Memetik laporan Jabatan Perangkaan Malaysia, Selangor juga katanya mempunyai penduduk kelas B40 kedua tertinggi di Malaysia.

Malah, pada 2023, garisan kos sara hidup untuk B40 di Selangor kata Mohd Zin telah meningkat sebanyak 50 peratus kepada RM6,960 berbanding tahun sebelumnya, daripada isi rumah yang berpendapatan RM4,603 dan ke bawah.

“Ini merupakan peratusan kenaikan kos sara hidup terbesar antara semua negerinegeri di Malaysia!

“Negeri yang menjadi penyumbang terbesar kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) untuk berpuluh tahun lamanya, kini mempunyai jurang kemiskinan yang amat ketara,” kata Mohd Zin.

Sebilangan besar rakyat Selangor pula katanya terpaksa berhempas pulas untuk kelangsungan hidup, berdepan dengan kenaikan kos sara hidup yang semakin membimbangkan, kadar pengangguran yang kekal tinggi dan pelbagai permasalahan gejala sosial.

“Janganlah bercakap mengenai soal status bandar raya apabila segala kemajuan hanya mampu dirasai oleh sebilangan kecil penduduk sahaja.

“Justeru, Proklamasi Orang Melayu Selangor mendesak kerajaan menyelesaikan dahulu soal asas iaitu mengatasi masalah kemiskinan rakyat Selangor sebelum mengumumkan berita yang sekadar ‘indah khabar dari rupa’,” katanya lagi.

Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) Nga Kor Ming semalam selepas Mesyuarat Kabinet bersetuju dan meluluskan cadangan bagi menaik taraf Majlis Perbandaran Klang (MPK) kepada status Majlis Bandaraya Klang.

MPK adalah pihak berkuasa tempatan (PBT) keempat berstatus bandar raya di Selangor selepas Majlis Bandaraya Subang Jaya, Majlis Bandaraya Shah Alam dan Majlis Bandaraya Petaling Jaya. – malayadaily.com

Facebook
Twitter
WhatsApp