TERKINI

Apakah Presiden Biden sama seperti seorang pemimpin Asia yang suka berbohong? – Mahathir

Mahathir Mohamad (kiri) – malayadaily.com

PUTRAJAYA, 25 Jun 24 – Mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menyifatkan Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden sebagai seorang kaki pembohong dalam isu konflik Palestin-Israel.

Menerusi entri beliau di laman facebook, Mahathir mempersoalkan kenyataan Biden yang mendakwa Hamas menolak cadangan gencatan senjata oleh Majlis Keselamatan PBB.

“Joe Biden, Presiden Amerika Syarikat mendakwa Israel sudah terima formula henti perang yang dicadang olehnya dan dilulus oleh UN Security Council.

“Yang tidak terima, kata Biden, ialah Hamas.

“Jika Israel terima kenapakah Israel masih menyerang Gaza? Israel bukan sahaja terus menyerang tetapi sudah tingkatkan serangan sehingga lebih ramai rakyat Gaza dibunuh. Tidak ternampak sedikitpun Israel menunaikan penerimaan gencatan perang seperti yang didakwa oleh Biden. Ujarnya.

Dalam kenyataan yang sama, Mahathir juga secara sinis mempersoalkan sikap Biden itu, sama seperti seorang pemimpin Asia yang suka berbohong.

“Sebaliknya Hamas yang didakwa Biden tidak menerima keputusan Security Council tidak ternampak melaku genosid seperti Israel. Jika ada serangan oleh Hamas sebabnya tentulah kerana menangkis serangan Israel. Selagi Israel menyerang Gaza, Hamas terpaksa bertindak balas supaya tertangkis serangan Israel.

“Apakah Biden juga kaki pembohong seperti seorang pemimpin Asia yang suka membohong. Ujarnya.

Mahathir berpendapat usaha rancangan gencatan senjata untuk menamatkan genosid, tidak dibuat secara serius, sebaliknya beliau berpendapat seharusnya Biden sebagai pemimpin kuasa besar mengundang pemimpin-pemimpin Israel dan Hamas untuk membuat pengakuan menghenti perang secara rasmi.

“Tetapi ini tidak dilakukan. Yang kita dengar ialah kenyataan oleh Biden bahawa Hamas tidak terima keputusan yang disahkan oleh UN Security Council.

“Sebenarnya Hamas sudah nyatakan penerimaan Biden dan UN Security Council.

Mahathir kembali menegaskan bahawa genosid oleh Israel ketika ini masih berterusan dan ia kerana AS mengizinkan perkara itu. – malayadaily.com

Facebook
Twitter
WhatsApp