TERKINI

Azam Baki Belum Siasat Sudah Tahu Keputusan, Kata Peguam

Wan Azlina Wan Adnan – malayadaily.com

KUALA LUMPUR, 30 jULAI 2023 – Kenyataan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Azam Baki harus dilihat bebas dan tidak memihak dalam membuat sebarang kenyataan, berkaitan dakwaan suapan, kata peguam.

Wan Azliana Wan Adnan mempersoalkan kenyataan Azam yang berkata pemberian geran oleh Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi kepada belia di Terengganu, tidak menjadi satu kesalahan rasuah.

“Saya terkejut kerana sudah membuat keputusan tanpa siasatan, sepatutnya Azam siasat dulu, ambil keterangan, baru buat keputusan.

“Keputusan ini separuh masak, dan tidak patut kerana beliau sepatutnya kelihatan bebas tanpa berat sebelah. Siasat dulu baru buat keputusan hasil daripada siasatan,” katanya, kepada malayadaily.

Beliau mengulas laporan media berhubung pengumuman Ahmad Zahid, pada Jumaat, semasa Himpunan Belia Lestari Generasi Unggul (LesGU) sempena program Sentuhan Kasih Desa di Bandar Al Muktafi Billah Shah, Terengganu.

Presiden Umno itu mengumumkan pemberian geran berjumlah RM100,000 kepada Persatuan Belia Gabungan Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah) selain peruntukan sebanyak RM250,000 untuk Majlis Belia Malaysia.

Terengganu adalah antara enam negeri yang terlibat menjalankan Pilihan Raya Negeri (PRN) pada 12 Ogos depan, dengan proses penamaan calon berlangsung pada 29 Ogos, lepas.

Azam dalam respon balasnya kepada kenyataan Ahmad Zahid berkata, pihaknya melihat tiada masalah berhubung isu rasuah berkenaan pemberian geran tersebut kerana ia merupakan inisiatif kerajaan yang sudah diluluskan.

Wan Azliana sehubungan itu menggesa SPRM diletakkan di bawah Parlimen agar badan penguatkuasa anti rasuah itu boleh menjalankan tugas tanpa campur tangan mana-mana pihak.

“SPRM perlu sentiasa menjalankan tanggungjawab dan tugas secara bebas, bebas daripada sebarang campur tangan mana-mana pihak.

“Supaya mereka bebas daripada kuasa eksekutif atau pengaruh politik, biar pelantikan Ketua Pesuruhjaya SPRM ditentukan oleh Parlimen,” katanya. – malayadaily.com

Facebook
Twitter
WhatsApp