TERKINI

Azizi, Ahli Parlimen Bersatu yang ke-3 isytihar sokong Anwar

Azizi Abu Naim – foto Sinar Harian

SHAH ALAM – Ahli Parlimen Gua Musang, Datuk Mohd Azizi Abu Naim daripada Perikatan Nasional (PN) mengisytiharkan sokongan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkuat kuasa pada Selasa.

Beliau berkata, keputusan itu dibuat bagi memastikan kebajikan penduduk di kawasannya terbela selain terus mendapat pelbagai manfaat termasuk peningkatan kemudahan infrastruktur.

“Setelah meneliti dan mendengar pembentangan Belanjawan 2024 oleh Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan dengan matlamat utama untuk memangkinkan pemulihan ekonomi di samping meringankan beban kewangan rakyat, saya selaku Ahli Parlimen Gua Musang mengisytiharkan untuk memberi sokongan penuh kepada kepimpinan Datuk Seri Anwar.

“Saya juga ingin menyatakan sokongan kepada inisiatif-inisiatif Kerajaan mengutamakan kebajikan rakyat negara ini sehingga pilihan raya umum akan datang,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Mohd Azizi merupakan ahli Parlimen daripada Bersatu yang ketiga mengisytiharkan sokongan kepada kepimpinan Anwar.

Oktober lalu, Ahli Parlimen Kuala Kangsar, Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid, diikuti Ahli Parlimen Labuan, Datuk Suhaili Abdul Rahman mengambil tindakan sama. – Sinar Harian

Facebook
Twitter
WhatsApp