PARLIMEN, 6 Nov 24 – Ahli Parlimen Saratok (PN-BERSATU), Datuk Ali Biju menggesa kerajaan memberikan penjelasan mengenai ketepatan angka bagaimana penjimatan RM8 bilion boleh dicapai, memandangkan jumlah tersebut dikatakan melibatkan 40 peratus subsidi yang didakwa dinikmati oleh warga asing dan golongan maha kaya.
Dalam perbahasan sidang dewan semalam, Ali berkata anggaran RM 8 billion tersebut agak signifikan namun anggaran tersebut amat tinggi maka persoalannya bagaimana angka tersebut boleh dicapai.
“Bagaimana penjimatan RM8 bilion ini boleh dicapai, kesahihan angka RM8 bilion atau 40 peratus yang kononnya jumlah subsidi yang dinikmati oleh golongan maha kaya dan warga asing ini, adakah itu betul?
“Tidakkah anggaran RM8 bilion ini terlampau tinggi, walaupun penjimatan ini agak signifikan jika kita merujuk kepada anggaran kita perlu melihat lebih terperinci bagaimana angka kononnya RM8 bilion ini akan dapat diperolehi,” katanya.
Dalam perbahasan itu, Ali turut menyoal mengenai mekanisme mengenal pasti golongan maha kaya atau T15 yang dikatakan akan dikecualikan daripada subsidi.
“Di stesen minyak kebanyakan orang yang membeli RON95 ini adalah pengguna kereta biasa, golongan maha kaya lebih cenderung menggunakan RON97. Mana mungkin golongan maha kaya menggunakan Mercedes, Lexus membeli RON95,” katanya.
Di samping itu, beliau turut menyentuh mengenai cabaran penguatkuasaan dan pemantauan bagi memastikan subsidi RON95 tidak terus disalahgunakan.
“Bagaimana kerajaan merancang dan memantau pengguna maha kaya ini, tanpa sistem pelaksanaan dan penguatkuasaan yang berkesan terdapat kemungkinan bahawa subsidi terus disalahgunakan.
“Ini juga membawa kepada masalah penyeludupan dalaman harga minyak bagi kumpulan tertentu dikawal, golongan yang tidak layak mungkin mendapatkan subsidi melalui kaedah yang tidak sah termasuk penipuan dan manipulasi sistem.
“Selain itu mungkin pasaran gelap akan muncul untuk mengeksploitasikan perbezaan harga tersebut,” katanya.
Menurutnya, penguatkuasaan yang ketat diperlukan untuk mencegah penyalahgunaan dan memastikan keadilan dalam pengagihan subsidi.
“Oleh itu penguatkuasaan yang ketat diperlukan untuk mencegah penyalahgunaan dan mengekalkan keadilan dalam pengagihan subsidi menjurus kepada pembaziran sumber dan menjejaskan keberkesanan perlaksanan ini,” katanya.
Dalam ucapan Belanjawan 2025 Malaysia Madani yang lalu, kerajaan bercadang untuk melaksanakan penyasaran subsidi petrol RON95 pada pertengahan tahun 2025, dengan anggaran sekitar RM12 bilion untuk 85 peratus rakyat Malaysia.
Anwar ketika membentangkan perkara itu berkata, warga asing dan 15 peratus teratas (T15) pengguna maha kaya menikmati 40 peratus subsidi petrol RON95 bernilai RM8 bilion. -unit komunikasi BERSATU