TERKINI

Bajet Gaji Untuk Pekerja Diunjurkan Meningkat 5 Peratus Pada 2023 – WTW

Gambar hiasan – Foto BBC

KUALA LUMPUR, 7 Mei 2023 – Syarikat di Malaysia dijangka memperuntukkan bajet gaji yang lebih tinggi pada 2023, sebahagian besarnya dipengaruhi oleh keadaan pasaran buruh yang kompetitif dan tekanan inflasi yang didorong oleh kenaikan kos sara hidup, menurut syarikat penasihat, broker dan penyelesaian global, WTW.

Berdasarkan Laporan Perancangan Bajet Gaji 2022, WTW berkata organisasi di Malaysia diunjurkan meningkatkan belanjawan mereka untuk gaji pekerja sebanyak lima peratus pada tahun ini.

Pengarah Urusan dan Ketua Perniagaan Ganjaran Pekerjaan untuk Asia Selatan, ASEAN dan Malaysia Tan Juan Jim berkata syarikat Malaysia telah memberi respons yang positif kepada trend bajet gaji global dengan meningkatkan belanjawan gaji mereka melalui pelbagai kaedah seperti mengoptimumkan jumlah ganjaran dan melaraskan kos.

“Syarikat mengambil pelbagai tindakan, termasuk meningkatkan pengalaman pekerja dan mengubah suai program pampasan mereka, untuk menangani isu kekurangan pekerja di Malaysia.

“Sebahagian syarikat turut membuat pelarasan kenaikan gaji yang lebih kerap (dan) malah, sebanyak 40 peratus daripada organisasi mempertimbangkan kenaikan gaji dua kali setahun untuk menarik dan mengekalkan pekerja,” katanya kepada Bernama.

Tan berkata mengambil kira keadaan ekonomi seperti kadar inflasi semasa yang tinggi dan ketidakpastian mengenai tempoh ia akan berlarutan, turut memaksa syarikat untuk menilai semula strategi pekerja mereka.

Katanya banyak organisasi telah mengambil atau merancang untuk mengambil langkah bukan kewangan untuk meningkatkan pengalaman pekerja dan ini termasuk memberi keutamaan kepada kesejahteraan pekerja dengan memperkenalkan manfaat kesejahteraan baharu seperti perkhidmatan telekesihatan.

“Dengan risiko yang ketara dalam ekonomi tempatan, inflasi tinggi yang berterusan dan majikan yang bergelut dengan cabaran penawaran tenaga kerja, organisasi perlu lebih kreatif untuk menangani cabaran tarikan dan pengekalan.

“Misalnya, kemahiran teknologi maklumat antara yang paling dicari oleh syarikat pada masa ini dengan 71 peratus daripada organisasi dilaporkan mengalami masalah untuk mengekalkan dan menarik tenaga kerja digital,” katanya.

Sehubungan itu, Tan berkata kemungkinan lebih berkesan untuk syarikat menggunakan faktor yang berbeza seperti kemahiran berfikir aras tinggi (HOT) dan model bayar untuk prestasi bagi menangani cabaran pasaran.

Mengulas lanjut mengenai kaji selidik itu, Pengarah Bersekutu Ganjaran dan Risikan Data WTW Malaysia Michael Ng Tze Kang berkata memandangkan ekonomi dijangka berkembang secara sederhana pada 2023, syarikat diunjurkan mengambil langkah tambahan dalam strategi pengekalan dan tarikan mereka berdasarkan perbincangan mengenai jangkaan kenaikan gaji median.

Beliau berkata pekerja di negara ini hanya akan mengalami kenaikan gaji sebenar sebanyak satu peratus, berdasarkan jangkaan kenaikan secara keseluruhan sebanyak lima peratus dan kadar inflasi empat peratus, meningkatkan sentimen bahawa gaji boleh dinaikkan lagi.

Berdasarkan data pampasan terkini, katanya dua pertiga daripada organisasi mengalami masalah untuk menarik dan mengekalkan pekerja, terutamanya dalam bidang digital, pengeluaran dan kejuruteraan.

“Sejak tiga tahun lepas, pekerja mendapati semakin sukar untuk mengekalkan pekerja dalam jangkaan 2023, serta daripada pandemik dan pelbagai ketidaktentuan dalam pasaran, majikan telah mempelajari cara baharu untuk menarik dan mengekalkan pekerja,” katanya.

Ng berkata banyak syarikat akan menambah baik pakej pampasan pekerja mereka dengan menawarkan program kesejahteraan alternatif atau baharu untuk membantu memastikan mereka bermotivasi.

“Selain kenaikan gaji, lebih 60 peratus syarikat mengambil langkah bukan kewangan yang menawarkan lebih fleksibiliti di tempat kerja untuk menangani pasaran buruh yang kompetitif dan tekanan inflasi.

“(Inisiatif seperti) aturan kerja yang fleksibel akan membolehkan pekerja mengurangkan kos keseluruhan untuk berulang-alik ke tempat kerja,” katanya.

Ng berkata pekerjaan berkaitan teknologi, iaitu pembangunan teknologi maklumat, digital dan keselamatan siber, merupakan pekerjaan utama yang mendapat permintaan dalam pelbagai industri.

“Sebanyak 10 pekerjaan utama yang mendapat permintaan termasuklah penganalisis perniagaan, jurutera data, saintis data, penganalisis data, jurutera pembelajaran mesin, jurutera risikan perniagaan, jurutera pangkalan data, penganalisis risikan perniagaan, penganalisis produk dan penganalisis risikan pelanggan.

“Terdapat 10 kemahiran utama yang mendapat permintaan iaitu SQL, Python, pelaporan teknikal, pembelajaran mesin, Apache Spark, pengurusan dokumentasi dan rekod, pemprosesan data raya, ekstrak, transformasi dan pemuatan (proses integrasi data), pengkomputeran awan dan tableau,” katanya.

Ng berkata trend ini dijangka berterusan hingga 2023 berikutan ekonomi digital Malaysia yang berkembang walaupun pasaran buruh kekal terhad. – Bernama

Facebook
Twitter
WhatsApp