TERKINI

Bangsa Teras Perlu Undi Perikatan Nasional – Bekas Menteri

Mohd Zin Mohamed – malayadaily.com

KUALA LUMPUR, 11 Ogos 2023 – Melayu sebagai bangsa teras di Selangor perlu memusatkan sokongan mereka kepada Perikatan Nasional (PN) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) yang akan berlangsung esok.

Pengerusi Proklamasi Orang Melayu Selangor Datuk Seri Ir Mohd Zin Mohamed berkata, dengan sejumlah 62 peratus penduduk Selangor adalah orang Melayu, mereka mampu menjadi suara yang kuat menentang gerakan sekularisme dalam mempertahankan identiti dan agama Islam.

“Mereka berperanan besar, termasuk dalam pembentukan identiti negara melalui kedudukan Islam sebagai agama persekutuan seperti yang termaktub dalam Perkara 3, dan juga kedudukan istimewa melayu dan bumiputra dalam Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan.

“(Sedangkan) pejuang sekularisme ini bergerak secara halus di atas dasar kesama rataan, pemodenan dan juga penyelewengan konsep ketamadunan yang tersasar daripada pengertian sebenar kepimpinan Islam.

“Kompromi sebegini dikatakan adalah perlu untuk mencapai kemajuan yang meraikan kepelbagaian dan kesederhanaan, akan tetapi, secara hakikatnya ia amat membelakangkan gaya hidup Islam dan juga agihan kekayaan yang seimbang,” katanya, dalam satu kenyataan.

Bekas menteri kerja raya itu berkata, oleh yang demikian pengundi Melayu yang merupakan sebahagian besar daripada 3.74 juta keseluruhan pengundi di Selangor perlu memastikan mereka menolak gabungan politik yang didominasi kumpulan bukan majoriti Melayu.

Katanya, gabungan sedemikian sudah tentu tidak berupaya untuk menjamin kedudukan Melayu sebagai bangsa teras bukan sahaja di Selangor tetapi di seluruh negara.

“Terdapat gabungan politik yang didominasi kumpulan bukan Melayu, seperti bagaimana DAP menguasai kerajaan persekutuan dengan 40 kerusi parlimen, sekaligus menjadi blok terbesar dalam kerajaan.

“Secara langsung dan juga tidak langsung, blok terbesar ini memegang punca kuasa kerana kebergantungan kerajaan ke atas blok mereka untuk kekal berkuasa.

“Sudah pasti, gabungan sebegini tidak mungkin akan mampu mengutamakan pegangan bangsa teras yang juga merupakan golongan super majoriti dalam negara,” katanya.

Selangor mempunyai kira-kira 34 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) mempunyai pengundi Melayu melebihi 60 peratus ke atas.

Oleh yang demikian, pengundi Melayu katanya perlu memastikan mereka mengundi calon PN agar suara majoriti dapat diwakili dengan betul.

“Maka dengan itu, bagi pihak Proklamasi Orang Melayu Selangor, saya mengajak semua pengundi, terutamanya bangsa super majoriti di negeri Selangor untuk secara beramai-ramai, tanpa berbelah bagi dan tanpa berlengah-lengah, keluar mengundi dalam kesepakatan yang jitu untuk calon-calon Perikatan Nasional.

“Semoga dengan kesepakatan ini, suara super majoriti akan dapat diwakili dengan sebetulnya dalam pimpinan negeri-negeri Persekutuan Tanah Melayu, khususnya di negeri Selangor Darul Ehsan yang tercinta,” katanya.

Hanya dengan pilihan raya orang Melayu mampu memastikan pemimpin yang betul-betul membawa suara mereka dapat diangkat sebagai kerajaan.

“Penglibatan dalam proses mengundi merupakan satu-satunya kaedah halal untuk memastikan pimpinan yang cakna dan mengutamakan keperluan untuk memelihara bangsa teras sebagai peneraju negeri, di samping menjadikan rakyat Selangor sebagai nadi pembangunan ummah.

“Oleh yang demikian, pengundi Melayu perlu memastikan penyertaan mereka secara beramai-ramai dalam proses demokrasi ini melalui perlaksanaan tanggungjawab mereka untuk mengundi,” katanya. – malayadaily.com

Facebook
Twitter
WhatsApp