TERKINI

Belanjawan : Kedah akan terima royalti REE tahun depan, penjawat awam dapat bantuan 2,000

Muhammad Sanusi Md Nor – foto Sinar Harian

ALOR SETAR, 27 Nov 2023 – Kerajaan Negeri Kedah mengumumkan bantuan khas kewangan sebanyak RM2,000 kepada 5,600 kakitangan awam dan anggota pentadbiran di negeri itu.

Perkara itu diumumkan Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor ketika membentangkan Belanjawan Negeri Kedah 2024 di Wisma Darul Aman pada Ahad.

Menurut beliau, peruntukan bagi bantuan berkenaan adalah berjumlah RM10.8 juta, dan pembayarannya akan dibuat bermula Disember 2023 sehingga Mac 2024.

Tambahnya, bantuan itu juga adalah bagi menghargai dedikasi serta komitmen tidak berbelah bagi kakitangan awam dan pentadbiran negeri dalam menyokong dan melaksanakan setiap dasar, program dan projek yang dirancang demi mensejahterakan negeri Jelapang Padi itu.

Muhammad Sanusi turut mengumumkan Bantuan Khas secara sekali beri akan diberikan kepada imam lantikan Negeri, Pengerusi Majlis Ketua Kampung dan Setiausaha Majlis Ketua Kampung (MKK) pada Mac 2024 sebagai bantuan Hari Raya, di mana kadar bantuan itu akan ditentukan kelak.

Dalam perkembangan yang sama, Muhammad Sanusi Md Nor juga mengumumkan Kedah akan menerima hasil daripda aktiviti perlombongan unsur nadir bumi (REE) melibatkan daerah Sik, bermula tahun hadapan dengan kadar royalti yang dianggarkan sekitar 15 peratus.

Beliau turut menzahirkan penghargaaan kepada Kerajaan Persekutuan atas pemilihan Kedah sebagai negeri berpotensi untuk melaksanakan perlombongan REE dengan anggaran oleh Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) sebanyak 250,000 metrik tan berbanding keseluruhan rizab REE di negeri itu berjumlah 1.196 juta metrik tan.

Tambahnya, angka berkenaan adalah penerokaan hasil baharu yang bakal diekstrak dalam tempoh masa 10 tahun akan datang.

“Sebelum itu, kesungguhan dan kesediaan Kerajaan Negeri Kedah dalam memperkasakan industri mineral khususnya REE diterjemahkan sebagai Dasar Negeri dan pindaan Peraturan Mineral,

“Antaranya, Kedah telahpun memasukkan kadar royalti sebanyak 15% bagi Karbonat REE sebagai satu kadar baharu yang bakal dikutip sekiranya REE menjadi bijih keberhasilan utama sektor perlombongan Negeri Kedah.”

Sanusi turut menzahirkan harapan agar sektor melibatkan REE akan mula memberikan hasil bermula pertengahan 2024, berdasarkan kelulusan pengekstrakan yang diterima sejak Ogos tahun lalu. – Awani

Facebook
Twitter
WhatsApp