KUALA LUMPUR, 30 Nov 2023 – Barisan Nasional (BN) dan UMNO masih belum terlambat jika mahu ‘kembali’ menjadi pembangkang bersama Perikatan Nasional (PN) berbanding menjadi boneka di dalam Kerajaan Perpaduan, dakwa Syed Muhammad Imran Syed Abdul Aziz.
Menurut Ketua Cawangan UMNO Kampung Melayu Batu Caves Selatan itu, 30 Ahli Parlimen BN juga kemungkinan akan ‘ditendang’ keluar kerana jika tanpa gabungan itu, Kerajaan Perpaduan masih mempunyai sokongan yang mencukupi.
Kata beliau, ini kerana tujuh lagi Ahli Parlimen daripada pembangkang didakwa akan turut menyatakan sokongan kepada kepimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim selepas lima Ahli PN berbuat demikian.
“30 Ahli Parlimen (BN) ini, anda semua rasa ‘power‘ ke dalam kerajaan sekarang? Cuba fikir 147 (sokongan Ahli Parlimen) tolak 30 (BN), jadi 117.
“Tetapi 117 masih lagi kerajaan, tambah lagi 12 (daripada PN) yang menyokong, akan jadi 129 sokongan. Rasanya Anwar hendak anda semua lagi ke (dalam kerajaan)?
“Masa itu Anwar pun tak nak anda semua lagi…,” dakwanya dalam satu rakaman video yang dimuat naik di laman sosial pada Rabu.
Sebelum ini, Ahli Parlimen Bukit Gantang, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal menjadi wakil rakyat kelima daripada PN yang menyatakan sokongan kepada kepimpinan Perdana Menteri selepas Zahari Kechik (Jeli), Mohd. Azizi Abu Naim (Gua Musang), Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar) dan Datuk Suhaili Abdul Rahman (Labuan).
Syed Muhammad Imran mendakwa, jika BN memilih untuk terus kekal dalam Kerajaan Perpaduan, gabungan itu didakwa perlu mengikut telunjuk daripada DAP.
Sementara, bagi kepimpinan di Sarawak pula, Pengerusi Pertubuhan Jalinan Perpaduan Negara Malaysia itu berkata, Kerajaan Negeri tersebut berfikiran matang, selain mendakwa tidak akan berkongsi kerusi dengan DAP pada masa akan datang. – Awani