TERKINI

Peguam Dakwa Anwar Mencabul Kedaulatan Undang-undang

Haniff Khatri – malayadaily.com

KUALA LUMPUR, 26 Julai 2023 – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mencabul kedaulatan undang-undang negara apabila mengatakan pemimpin yang mencuri wang negara perlu memulangkannya kembali atau berhadapan tindakan daripada pihak berkuasa, kata peguam.

Haniff Khatri berkata, kenyataan yang dikeluarkan Anwar dalam satu program di Kelantan, baru-baru ini menimbulkan persoalan seolah-olah beliau mencampuri secara salah tugas pihak berkuasa seperti polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“Jenayah adalah jenayah. Jenayah tidak boleh diselesaikan melalui memulangkan semula wang jika jenayah itu curi atau rasuah. Itu sepatutnya mana-mana pemimpin terutamanya perdana menteri wajib faham.

“Untuk Anwar sebagai perdana menteri keluarkan kenyataan seperti itu kepada sesiapa sahaja bermaksud beliau tak faham elemen penting jenayah di negara Malaysia.

“Semata-mata seorang penjenayah memulangkan semula hasil jenayah tidak membebaskannya daripada tindakan jenayah, pendakwaan (perlu dilakukan) dan jika bersalah (perlu bersedia) untuk dijatuhkan hukuman,” kata Haniff.

Haniff berkata demikian dalam kenyataan melalui rakaman video yang dimuat naik di laman Facebook miliknya, semalam.

Dalam siri Jelajah Perpaduan Madani dan Pelancaran Jentera Perpaduan Kelantan, di Machang, pada 23 Julai lalu, Anwar dilapor memberi amaran keras kepada bekas pemimpin negara untuk menyerahkan kembali harta yang dakwanya dikumpul secara salah atau bakal berdepan dengan siasatan pihak berkuasa.

Beliau menegaskan, pihaknya sudah membuat gesaan sebanyak tiga kali kepada individu terbabit, namun tiada sebarang respon diberikan.

Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu berkata, segala harta yang didakwanya telah dicuri itu perlu dijual semula dan dikembalikan untuk membantu orang Melayu miskin.

Anwar bagaimanapun tidak mendedahkan nama individu seperti yang didakwanya itu.

Haniff melihat, kenyataan Anwar itu seperti ingin menyalahgunakan kedudukannya sebagai perdana menteri untuk mengecualikan tindakan (pendakwaan) jenayah diambil sekiranya individu berkenaan menyelesaikan sesuatu yang didakwa sebagai kecurian atau rasuah.

“Itu salah. Itu melawan dari sudut kefahaman konsep jenayah mahupun kedaulatan undang-undang.

“Mana-mana kes jenayah bermula dengan aduan. Kalau kekerasan jenayah sudah semestinya ada aduan kepada polis. Kalau jenayah berbentuk rasuah sudah semestinya ada aduan kepada pihak berkuasa SPRM.

“Kedua-dua pihak berkuasa ini wajib diberi ruang untuk buat siasatan mereka tanpa campur tangan mana-mana pihak terutamanya eksekutif, lebih utamanya perdana menteri, itu salah,” katanya.

Haniff turut mempersoalkan sama ada Anwar hanya akan mengarahkan individu itu dikenakan tindakan sekiranya tidak memberikan kerjasama.

Sedangkan, anggota badan eksekutif tidak seharusnya mencampuri urusan pihak berkuasa seperti polis dan SPRM, kata Haniff.

“Kalau individu itu tidak memberi kerjasama atas dakwaan beliau pernah ada salah laku jenayah maka baru tindakan jenayah diambil. Itu pun salah.

“Anwar kata kalau tak pulangkan saya akan suruh SPRM siasat sampai ke rumah, pejabat, sita harta, itu kenyataan jelas terzahir salah guna kuasa.

“Kedaulatan undang-undang bermaksud dalam isu siasatan atau pendakwaan jenayah tidak ada mana-mana pihak eksekutif termasuk perdana menteri boleh mencampuri secara salah kuasa bidang kuasa pihak berkuasa jenayah, polis atau SPRM,” kata Haniff lagi.

Kenyataan yang dikeluarkan ahli Parlimen Tambun itu juga tegas Hanif adalah berbentuk penyalahgunaan kuasa di bawah Seksyen 23 Akta SPRM 2009.

Seharusnya tidak ada mana-mana anggota pimpinan kerajaan, lebih-lebih lagi Anwar sebagai perdana menteri wajar mengeluarkan kenyataan sedemikian, katanya.

“Saya syorkan pihak yang sepatutnya menasihati perdana menteri memberitahu perdana menteri apa yang betul, apa yang salah.

“Kalau ada ketirisan atau rasuah, maka agensi kerajaan berkaitan atau kementerian sepatutnya sudah buat laporan kepada SPRM.

“Jika belum lagi adakah ini bermaksud kenyataan Anwar itu akan menyuruh pihak berkuasa mula menyiasat, bukankah itu salah guna kuasa,” kata Haniff. – malayadaily.com

Facebook
Twitter
WhatsApp