TERKINI

SG4 Mahu Percepat Pertumbuhan Ekonomi Negeri, Bukan Musuhi Pusat – MB Terengganu

Ahmad Samsuri Mokhtar (kanan), Mahathir Mohamad (kiri) – foto Pej TDM

PETALING JAYA, 19 Sept 2023 – Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar menegaskan bahawa keputusan empat negeri PN membentuk gabungan itu dengan melantik Dr Mahathir Mohamad sebagai penasihat lebih kepada usaha mempercepatkan pertumbuhan ekonomi negeri dengan pelbagai cara selain kekal bekerjasama dengan kerajaan pusat.

Menurut Samsuri, tuduhan pembentukan kerjasama negeri Perikatan Nasional (PN) atau “State-Government 4” (SG4) sebagai usaha memusuhi kerajaan pusat dilakukan mereka yang iri hati.

“Saya tak faham (kenapa tuduh kita nak musuhi kerajaan pusat), mungkin atas sebab dengki atau iri hati pihak tertentu sahajalah yang cakap sedemikian.

“Kita mencari jalan sebanyak mungkin dengan pelbagai cara untuk meningkatkan hal ekonomi, pelaburan serta perkara berkaitan empat negeri ditadbir PN. Apakah usaha itu dikira tidak menghormati kerajaan persekutuan?…sebab kita juga sedang bekerjasama erat dengan kerajaan persekutuan, melalui pelbagai agensi dan kementerian,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Perasmian Kompleks Pentadbiran Bandar Al-Wathiqu Billah, Kuala Nerus oleh Sultan Terengganu.

Samsuri berkata, ucapan sulung Mahathir dalam pertemuan penjawat awam Terengganu baru-baru ini juga tidak menyentuh soal politik dan ia jelas menunjukkan tahap profesional serta keseriusan dalam membangunkan negeri.

“Mahathir hanya cakap soal pentadbiran dan bagaimana nak tingkatkan kecekapan dalam mentadbir, kalau kita ingat sepanjang tempoh Mahathir menjadi perdana menteri telah menunjukan pencapaian tertentu. Jadi adakah salah bagi kami dapatkan nasihat daripada orang yang mencapai kejayaan untuk kita ambil ilmu mereka.

“Kerajaan Terengganu juga pada 2018 melantik Khalid Ibrahim yang pernah menjadi menteri besar Selangor untuk membantu melonjakkan ekonomi dan pelbagai perkara,” katanya.

Beliau mengulas kenyataan ahli akademik, Mazlan Ali dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM) yang dilaporkan berkata, tindakan empat negeri PN membentuk kerjasama itu dilihat seperti mahu memusuhi Putrajaya.

Sebelum ini, Samsuri berkata empat menteri besar negeri PN iaitu Perlis, Kedah, Kelantan dan Terengganu akan membincangkan pelan tindakan bagi kumpulan SG4 di mana Mahathir akan memainkan peranan secara tidak rasmi, terutama dalam hubungan bersama pelabur luar seperti Jepun dan Korea. – FMT

Facebook
Twitter
WhatsApp