TERKINI

Kerajaan Madani Bertunjangkan DAP – Bekas Menteri

Mohd Zin bin Mohamed – malayadaily.com

KUALA LUMPUR, 18 Ogos 2023 – Pengerusi Proklamasi Orang Melayu Negeri Selangor, Dato’ Sri Ir. Mohd Zin bin Mohamed menyifatkan kerajaan di bawah pentadbiran Madani adalah bertunjangkan parti DAP.

Beliau berkata demikian dengan merujuk kepada keputusan Pilihan Raya enam buah negeri 2023 baru-baru ini.

“Lebih baik PH-UMNO berterus terang saja, kerajaan persekutuan dan kini kerajaan-kerajaan negeri di bawah pentadbiran “Madani” ini adalah bertunjangkan DAP.

“Kalaulah konsep “Madani” ini benar-benar berasal daripada corak pemerintahan Rasulullah SAW di Madinah, adakah golongan bukan Islam yang telah menjadi tunjang pemerintahan di Madinah?, soal Mohd Zin dalam kenyataan media, khamis.

Mohd Zin yang juga bekas Menteri Kerja Raya berkata, secara keseluruhan, Perikatan Nasional (PN) memenangi 146 kerusi berbanding 99 kerusi yang diraih PH-UMNO.

“Daripada 99 kerusi yang diraih PH-UMNO, 48 kerusi dimenangi DAP, manakala hanya 26 dimenangi PKR, 18 oleh UMNO dan 7 oleh Amanah.

“Kesemua kerusi yang dimenangi oleh DAP ini adalah kerusi majoriti bukan melayu kecuali DUN Sungai Pelek di Selangor.

Menurut Mohd Zin lagi, tanpa DAP, bukan saja bermaksud mereka kehilangan separuh jumlah kerusi yang dimenangi, malah takkan dapat menubuhkan kerajaan di mana-mana negeri.

“Inilah punca kuasa PH-UMNO yang sebenarnya, iaitu DAP. Sedangkan di peringkat parlimen sekalipun, DAP juga merupakan blok terbesar dalam kerajaan dengan 40 kerusi. Dan kini, PH-UMNO semakin bergantung kepada DAP demi kuasa di peringkat negeri-negeri yang ditadbir.

“Kebergantungan luar biasa kepada DAP ini telah membawa kepada penyelewengan maksud pilihanraya sebagai pencerminan pendirian rakyat.

“PAS dan PPBM telah mewakili pimpinan Melayu Islam selaku bangsa super majoriti dalam negara, sejajar dengan kedudukan Islam dan orang Melayu yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan. – malayadaily.com

Facebook
Twitter
WhatsApp