TERKINI

PRK KKB: Fahmi nafi PKR tidak bantu kempen calon

Fahmi Fadzil (kanan), Pang (gambar kecil) – malayadaily.com

HULU SELANGOR, 10 Mei 24 – Ketua Penerangan PKR Fahmi Fadzil menyangkal dakwaan sesetengah pihak kononnya parti itu tidak turun padang membantu kempen calon Pakatan Harapan (PH) Pang Sock Tao pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu (KKB).

Beliau yang juga Pengarah Komunikasi PH berkata sebaliknya Naib Presiden PKR yang juga Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari adalah antara pemimpin yang paling kerap turun berkempen membantu calon itu di KKB.

“Dakwaan itu jauh daripada realiti, malah saya difahamkan (Amirudin) mengadakan Mesyuarat Mingguan Kerajaan Negeri Selangor di KKB ini, (dan) saya pun ada di sini,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Pra Pelancaran Rangka Kerja Perkongsian Rangkaian dan Infrastruktur di sini hari ini.

PRK KKB yang menyaksikan pertandingan empat penjuru melibatkan Pang, Khairul Azhari Saut (PN), Hafizah Zainuddin (Parti Rakyat Malaysia) dan Nyau Ke Xin (Bebas), diadakan susulan kematian penyandangnya Lee Kee Hiong, 58, akibat kanser pada 21 Mac lepas.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan Sabtu ini 11 Mei sebagai hari pengundian PRK KKB. – Bernama

Facebook
Twitter
WhatsApp