TERKINI

Isu RTB : Kenyataan Nik Nazmi angkuh – Chegu Bard

Badrul Hisham Shaharin – foto Utusan

KUALA LUMPUR, 21 Dis 2023 – Aktivis politik, Badrul Hisham Shaharin menyifatkan penafian Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES), Nik Nazmi Nik Ahmad sebagai angkuh dan cuba mengugut beliau dengan tindakan mahkamah atas laporan polis yang dibuat olehnya berkaitan isu projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) .

Dalam satu kenyataan hari ini, Chegu Bard yang juga Ahli Jawatankuasa Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) berkata, Nik Nazmi sepatutnya mengarahkan siasatan tentang nama-nama yang dilaporkan dan menyiasat dokumen-dokumen yang beliau dedahkan.

“Sepatutnya arah siasatan siapa yang saya namakan semalam dan bagaimana dokumen-dokumen perjanjian rasuah yang sebahagiannya saya dedahkan semalam wujud.

“Siapa yang melantik orang tengah seperti driver Majlis Perbandaran Kuala Selangor dan syarikat jual barang kecantikan sebagai orang tengah mengambil komisyen? Soal Chegu Bard.

Dalam kenyataan yang sama, Chegu Bard mengulangi pendiriannya untuk tidak melaporkan dakwaan beliau itu ke Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan sebaliknya pergi ke PDRM.

“Kerana kepercayaan kami terhadap SPRM hancur khususnya Ketua Pesuruhjayanya sendiri terpalit isu integriti dan beberapa kali dilihat SPRM menjadi alat politik jelas regim campuran.

Beliau turut mengingatkan tentang kes rasuah yang melibatkan kementerian Sumber Manusia sebelum ini, yang tidak diketahui hasilnya.

“Ingat, RM97 juta telah hilang dibawah Sivakumar (DAP) ketika menjadi Menteri Sumber Manusia. Akhirnya kes senyap dan menteri dipecat. Duit rakyat, hangus…?

“Kami masih percaya PDRM. Kami harap PDRM dapat siasat peguam-peguam terbabit dan panggil semua terlibat perjanjian. Ujarnya.

Semalam, Chegu Bard telah membuat laopran polis berkaitan dengan rasuah Rancangan Tebatan Banjir (RTB), beliau turut menggesa siasatan dijalankan berhubung dakwaan kes rasuah tersebut yang bernilai lebih RM16 bilion. – malayadaily.com

Facebook
Twitter
WhatsApp