PETALING JAYA, 15 Feb 2024 – Kerajaan digesa memberikan penjelasan lanjut di sebalik pengumuman pemansuhan beras putih tempatan (SST) dan beras putih import (SSI) yang akan digantikan beras putih Malaysia Madani berkuat kuasa 19 Feb ini.
Memetik laporan FMT, Pengarah Urusan Mydin, Ameer Ali Mydin, berkata ini kerana kategori SST dan SSI yang dimansuhkan bagi menjadikan beras putih Malaysia Madani sebagai kategori tunggal tidak jelas.
“Tak mungkin kerajaan nak hapuskan SSI sebab itu beras import. Apa akan jadi dengan SSI? Tidak mungkin SSI katakan sebelum ini dijual RM40 bagi kampit 10kg ingin diturunkan sampai RM30.
“Nanti beras susah nak ada di pasaran. Kita daripada pihak industri minta penjelasan,” katanya kepada FMT.
Semalam, Pengerusi Jawatankuasa Menangani Harga Makanan dan Kos Sara Hidup, Mesyuarat Khas Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (Naccol), Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal, mengumumkan beras putih Malaysia Madani dijual pada harga RM30 bagi kampit 10kg berkuat kuasa 19 Feb dan pengguna boleh mendapatkannya di pasaran mulai 1 Mac.
Ahli Parlimen Bukit Gantang berkata, beras putih Malaysia Madani untuk kampit 5kg akan dijual pada harga RM15.50 dan 1kg RM3.50.
Katanya, dengan nama baharu itu kategori SST dan SSI dimansuhkan.
Sementara itu, Ameer menuntut penjelasan Syed Hussin adakah selepas ini SST dan SSI akan diberhentikan sepenuhnya dan hanya ada beras putih Malaysia Madani di pasaran.
Soalnya, adakah beras putih Malaysia Madani akan dijual nanti adalah SST yang dijual ketika ini dengan harga RM26 atau beras import dijual RM40 bagi kampit 10kg.
“Ini kerana Syed Hussin cadang jual harga beras putih Malaysia Madani RM30, atau beras putih Malaysia Madani ini merupakan beras campuran SST dengan SSI,” katanya.
Bagaimanapun, beliau berterima kasih kepada kerajaan atas pengumuman itu kerana percaya ia adalah harga yang betul-betul kompetitif.
Presiden Persatuan Pengguna Subang dan Shah Alam (CASSA), Jacob George, mempersoalkan adakah kenyataan Syed Hussin itu selepas mengadakan perbincangan dengan semua pemegang taruh.
Beliau memilih untuk menunggu respons kerajaan berhubung pengumuman Syed Hussin berikutan tidak mahu kenyataan itu dianggap “syok sendiri”.
“Kita tunggu. Adakah ini satu kenyataan diambil dari segi ‘syok sendiri’ atau satu respons yang mengatasi semua masalah di akar umbi,” katanya. – FMT