TERKINI

Beri Saya Beberapa Tahun, Malaysia Akan Semarak Sebagai Suara Raksasa – Anwar

foto Awani

PERMATANG PAUH, 16 April 2023 – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim meminta rakyat Malaysia memberikan tempoh kepada Kerajaan Perpaduan pimpinannya, beberapa tahun dalam membuktikan pembentukan tatakelola pentadbiran yang baik selain menghapuskan amalan ‘sakau-menyakau’.

Menurut beliau, perkara itu mampu memberi manfaat serta pulangan yang besar kepada rakyat jelata dalam menikmati pelbagai hasil dan faedahnya terutama melibatkan golongan penjawat awam.

Tambah Ahli Parlimen Tambun itu, kejayaan itu juga selain usaha yang bersungguh-sungguh melibatkan semua pihak mampu membawa Malaysia untuk bersemarak semula sebagai suara raksasa di rantau ini.

“(Apabila) stabil politik kita, (semua) kerja sebagai satu pasukan, (dan kemudian) hadapi Pilihan Raya Negeri dengan cukup yakin. 


“Bagi tempoh untuk kita beberapa tahun ini, untuk membuktikan (pentadbiran mengamalkan) tatakelola yang baik, (kita dapat) hentikan amalan sakau-menyakau, dan dengan hasil kita yang lebih baik, (ia membolehkan kita) memberi keadilan untuk (pihak-pihak yang) bekorban mengawal dan meningkatkan ekonomi negara, dan orang itu adalah kita mulakan dengan penjawat awam,” katanya. 


Anwar berkata demikian ketika berucap pada majlis Amanat Perdana Menteri Kepada Penjawat Awam Persekutuan dan Negeri Pulau Pinang di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Permatang Pauh, pada Jumaat. 


Dalam perkembangan sama, beliau menyatakan usaha dalam memerangi rasuah bukan hanya tertumpu kepada individu sahaja malah melibatkan sistem pentadbiran itu sendiri. 


“Kleptokrat (ini) bukan seorang sahaja, tetapi (melibatkan) sistem (itu sendiri), di peringkat Persekutuan), ia memang tidak mudah, (amalan) rasuah menjalar di semua peringkat, saya buka fail, dalam setahun dua (ini), penuh (dengan) kecurangan dan nafsu serakah pemimpin. 


“Saya tidak peduli sama ada dia orang Cina atau orang Melayu atau daripada parti yang mana, saya beritahu SPRM supaya bertindak secara profesional dengan data dan fakta yang betul dan benar.

“Sekiranya ada kes, Peguam Negara (boleh) mengambil tindakan pendakwaan supaya (ia) menjadi menjadi pengajaran (kepada semua pihak),” katanya lagi. – Awani

Facebook
Twitter
WhatsApp