TERKINI

Bimbang nasib Pesawah, kerajaan digesa bertindak – GN

Aminuddin Yahaya (Gambar kecil) – malayadaily.com

KUALA LUMPUR, 22 Jan 25 – Sebuah NGO, Gabungan Nasionalis (GN) menyuarakan kebimbangan mereka terhadap nasib pesawah berkaitan ura-ura penurunan harga belian padi kepada RM 1300 per satu tan metrik.

Menurut Pengerusi GN, Aminuddin Yahaya, penurunan ini akan memberi kesan kepada kelangsungan aktiviti pesawah yang telah dibebani dengan kenaikkan pelbagai kos operasi.

“Ini akan memberi kesan kepada kelangsungan aktiviti pesawah, ditambah pula dengan kenaikkan pelbagai kos operasi seperti kos benih, sewaan tanah dan kos-kos lain yang berkaitan.

“Dengan harga kawalan beras yang rendah dan kos menanam padi yang meningkat, kekhuatirannya ialah para pesawah berada dalam keadaan yang sangat tertekan dan mungkin terpaksa gulung tikar. Ujar Aminuddin.

Dalam isu yang sama, GN mencadangkan agar kerajaan melaksanakan beberapa inisiatif demi membela nasib pesawah dengan menaikkan kembali harga belian kepada harga semasa iaitu RM 1500-RM1800.

Selain daripada itu, kerajaan digesa mengerah agensi kerajaan seperti Bahagian Pembangunan Industri Padi dan Lembaga Pertanian Peladang untuk memantau agar tidak berlaku elemen penindasan kepada pesawah.

Seterusnya, kerajaan menerusi kementerian digesa mendapatkan pandangan wakil pesawah agar setiap polisi yang dikenakan dapat mewujudkan suasana “win-win” kepada semua pihak.

Aminuddin memberitahu, terdapat antara pesawah mula menjual tanah mereka selepas tidak tahan dengan peningkatan kos operasi.

Katanya, statistik turut menunjukkan angka pesawah dulu mencecah 300,000 orang kini berkurang kepada 200,000.

“Majoriti yang terlibat dengan aktiviti ini telah berusia manakala golongan berumur 40 tahun ke bawah hanya tinggal sepuluh ke 20 peratus sahaja.

“Sekiranya situasi ini berterusan dan tidak dikawal, dikhuatiri akan memberi kesan kepada keselamatan makanan.

Turut sama dalam sidang media tersebut, Pengerusi Pertubuhan Persaudaraan Pesawah Malaysia (PeSAWAH), Abdul Rashid Yob juga berharap kerajaan khususnya Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mendengar rintihan dihadapi pesawah berhubung penetapan harga belian padi.

Menurutnya, harga itu tidak relevan dengan kos operasi ditanggung pesawah dan memerlukan harga lantai untuk seimbang kos tersebut.

“Selepas penyasaran subsidi diesel sejak 10 Jun lalu hingga ke hari ini, kami terpaksa tanggung kos aktiviti sawah disebabkan pelaksanaan ‘fleet card’ tak sampai kepada sasaran atau pengusaha jentera.

“Keadaan ini menyebabkan kami dalam keadaan tertekan dan memerlukan harga relevan untuk seimbangkan kos berkenaan bagi membolehkan kami meneruskan aktiviti pertanian,” katanya. –malayadaily.com

Facebook
Twitter
WhatsApp