TERKINI

BlackRock: Penjelasan PM mengecewakan – Pejuang

Rafique Rashid Ali (kanan) – malayadaily.com

PUTRAJAYA, 26 Jun 24 – Parti Pejuang Tanah Air menyifatkan penjelasan Perdana Menteri mengenai kritikan cadangan kerajaan menjual kepentingan Malaysia Airports Holding (MAHB) kepada syarikat dimiliki BlackRock sebagai mengecewakan.

Ketua Penerangan Pejuang, Rafique Rashid Ali berkata, penjelasan Anwar Ibrahim di Dewan Rakyat hanya mengalih isu dengan menyentuh dan menyalahkan kerajaan terdahulu berkaitan penglibatan BlackRock dalam urusniaga dalam negara.

“Tetapi selepas itu dialih naratif kepada politik bilamana PMX menyatakan kealpaan kerajaan-kerajaan terdahulu membenar BlackRock di Malaysia.

“Sesekali dituding pula isu kapal syarikat ZIM dari Israel.

“Kalau isunya mengenai tahun 2018, 2019 dan 2020 soal isu syarikat-syarikat Israel miliki saham dalam syarikat -syarikat Malaysia, mengapa Menteri-Menteri masa itu juga tidak “dimangsakan” oleh PMX?

“Bukankah kabinet Madani juga antaranya dalam Kabinet PH 1.0? Ujarnya dalam satu kenyataan.

Menurut Rafique, dalam mana-mana transaksi korporat yang besar, sudah tentu pihak baru ini mempunyai kemahuan untuk mendapatkan kuasa mengawal entiti yang mana pelaburannya wujud.

“Itu adat bagi firma-firma pelaburan mega, sudah pasti juga bagi GIP yang dibelakangnya ada BlackRock.

“PMX juga nampaknya mengelak apabila ditimbul persoalan mengenai nilaian saham-saham yang akhirnya akan berada dalam tangan BlackRock ( kerana BlackRock telah ambil alih 100% GIP untuk USD 12.5bilion pada Januari 2024). Ujarnya.

Terdahulu, Perdana Menteri Anwar Ibrahim membangkitkan hipokrasi pembangkang yang mempersoalkan pelaburan BlackRock dalam Malaysia Airport Holdings Bhd (MAHB).

Walhal, pemimpin Perikatan Nasional sendiri bertanggungjawab membenarkan firma dikaitkan dengan Israel itu untuk menguruskan dana Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), katanya.

Beliau memberitahu Dewan Rakyat demikian ketika mempertahankan pelaburan Global Infrastructure Partners (GIP) yang dikaitkan dengan Israel dalam MAHB. – malayadaily.com

Facebook
Twitter
WhatsApp