GEORGETOWN, 17 Apr 24 – Akademi Boria mengharapkan bantuan daripada kerajaan Pulau Pinang dan Jabatan Warisan Negara dalam usaha untuk mengiktiraf seni persembahan boria sebagai Warisan Dunia Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).
Pengarahnya, Jibran Khalil Sindamadar berkata, boria wajar diangkat sebagai warisan dunia kerana ia merupakan seni unik yang wujud di negara ini sejak abad ke-19 dengan merangkumkan empat cabang dalam satu persembahan iaitu sketsa atau lakonan, rangkap karangan (lirik), tukang karang (nyanyian) dan gerak tari tambahan.
Justeru, beliau berkata, akademi itu sedang berusaha memperjuangkan supaya boria disenaraikan sebagai Warisan Dunia UNESCO agar ia dapat dipertahankan seterusnya menjadi satu warisan yang tidak hilang ditelan zaman.
“Usaha telah dibuat sejak 2018 lagi apabila kita bersama Presiden Pertubuhan Jawi Peranakan, Datuk Dr Wazir Jahan Karim ketika beliau melancarkan buku Boria: From Passion Play To Malay-Jawi Peranakan Parody telah mencadangkan agar boria disenaraikan sebagai warisan hidup UNESCO.
“Permohonan juga pernah diserahkan kepada Datuk Muhammad Bakhtiar Wan Chik yang ketika itu Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya. Kita masih mengharapkan kerajaan negeri, Jabatan Warisan dan pihak Georgetown World Heritage dapat membantu,” katanya kepada Bernama pada Majlis Jamuan Yaribba Boria Raya 2024, di sini, baru-baru ini.
Pada majlis itu, seramai 13 individu termasuk Jibran Khalil menerima Sijil Seniman Boria yang disampaikan Yang Dipertua Negeri, Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak, sebagai pengiktirafan dan penghargaan terhadap penggiat boria yang menyumbang tenaga serta kreativiti dalam memartabatkan seni itu sejak berpuluh tahun.
Menurut Jibran Khalil, selain menuntut pengiktirafan UNESCO, pihaknya turut mengusulkan supaya nama Jalan Boria menggantikan Lorong Kulit kerana di situ merupakan tempat kemegahan persembahan boria pada awal tahun 50-an.
Dalam pada itu, beliau berkata, akademi yang ditubuhkan 10 tahun lepas itu, kini giat berusaha memulihara boria dengan masuk ke sekolah rendah dan menengah untuk mencari pelapis dalam kalangan generasi muda sebagai penyambung kepada warisan tersebut.
Akademi Boria juga dalam perancangan untuk menjalin kerjasama dengan institusi pengajian tinggi bagi menjadikan akademi itu sebagai pusat penyelidikan dan pedagogi agar kesenian boria dapat diperkasakan serta diwarisi generasi akan datang. – Bernama